Click here for Myspace Layouts

Sunday 20 May 2012

MELANGGAR DISIPLIN SEKOLAH

MELANGGAR DISIPLIN SEKOLAH Posted by Bazri Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga ( 2002 ), pelanggaran adalah perihal melanggar atau perihal menentang perbuatan dan sebagainya atau tidak mematuhi. Disiplin pula bermaksud latihan terutamanya pemikiran dan perlakuan supaya boleh mengawal diri sendiri, tatatertib atau peraturan-peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik. Konsep permasalah perlanggaran disiplin di sekolah umumnya melibatkan pelajar yang tidak mematuhi peraturan-peraturan di sekolah. Kebiasaannya perlanggaran disiplin di sekolah berlaku di dalam sekolah dan sewaktu persekolahan. Namun kemungkinan besar ia dipengaruhi dan melarat di luar kawasan dan waktu persekolahan. Disiplin pelajar yang boleh dianggap serius di peringkat sekolah rendah ialah berjudi, mencuri, melawan guru, dan sebagainya. Manakala di peringkat sekolah menengah pula adalah sama dengan peringkat sekolah rendah tetapi ada sedikit penambahan iaitu penyalahgunaan dadah, mencabul kehormatan dan bercumbuan. Kadar jenayah dan masalah sosial semakin meningkat di kalangan remaja dan pelajar sekolah bukan sahaja melibatkan ibu bapa tetapi juga memberi impak terhadap kredibiliti sekolah sebagai agen kawalan sosial yang seharusnya berperanan dalam pembentukan moral dan tingkahlaku generasi muda. Kesan Atau Akibat 1. Kesan Pada Diri Sendiri Remaja terlibat dengan pelanggaran disiplin di sekolah akan mudah terlibat dengan salah laku jenayah lain seperti mencuri motorsikal, meminum arak, ubat batuk dan sebagainya. Akibatnya remaja itu akan ditangkap dan dikenakan hukuman salah laku delinkuen. 2. Kesan Kepada Keluarga Keluarga juga pastinya akan mendapat malu daripada tingkah laku delinkuen. Maruah keluarga akan tercemar dan harapan keluarga akan musnah kerana ibu bapa telah bekerja keras untuk menghantar anak ke sekolah supaya berjaya dalam akademik. 3. Kesan Pada Institusi Sekolah Pelajar yang nakal dan melanggar peraturan sekolah akan didenda manakala yang baik dan patuh pada peraturan akan diberi ganjaran serta puji-pujian dan sebagainya. Dengan ini timbullah bentuk budaya yang dikenali sebagai budaya informal di sekolah lebih berpengaruh dalam membentuk sahsiah pelajar daripada budaya formal yang diajar oleh guru di sekolah. 4. Kesan Pada Masyarakat Perlanggaran disiplin akan menjejaskan ketenteraman masyarakat. Seterusnya lebih banyak lagi gejala sosial dan permasalahan delinkuen berlaku kepada generasi muda. Masyarakat akan hidup dalam kebimbangan, tahap keselamatan sosial menurun dan golongan remaja yang delinkuen mungkin menjadi lebih dominan di sekolah dan persekitaran sosial. Posted by Bazri FARAH ILYANA (1B2)

sukarnya mendidik pengguna jalan raya

Sukarnya mendidik pengguna jalan raya Posted on 02/10/2009 by smnilam Proses belajar memandu di Malaysia perlu diperkemas SEBANYAK 16 lagi kematian dicatatkan pada hari ke-14 Ops Sikap XX kelmarin, menjadikan jumlah korban nahas jalan raya musim perayaan kali ini meningkat kepada 238 orang. Jumlah korban kali ini adalah antara tertinggi sejak Ops Sikap diperkenalkan bagi mengurangkan kadar kematian ketika musim perayaan, lapan tahun lalu. Jumlah kematian tertinggi pernah dicatatkan dalam operasi itu ialah ketika Ops Sikap III. Pada fasa pertama Ops Sikap III bermula 29 November 2002, 280 kematian dicatatkan, manakala pada fasa kedua bermula 20 Disember tahun sama, 238 pengguna jalan raya maut. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, melahirkan rasa sedih dan kesal kerana selepas begitu banyak operasi termasuk Ops Sikap setiap tahun, ia belum dapat mengurangkan jumlah kemalangan maut di jalan raya negara ini. Beliau menyalahkan sikap pengguna jalan raya yang tidak menghormati undang-undang lalu lintas sebagai punca utama masalah itu seperti dibuktikan oleh perangkaan Ops Sikap kali ini. Katanya, semua usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, khususnya pada sepanjang musim perayaan di negara ini tidak akan mendatangkan faedah jika masyarakat, termasuk pemimpin politik tidak berubah sikap dan komited dalam menjayakan matlamat itu. Kita turut berkongsi pandangan dengan kekesalan yang diluahkan oleh Ketua Polis Negara itu. Undang-undang sudah ada dan pelbagai kempen keselamatan jalan raya dilancarkan, tetapi pemandu tetap ingkar dan lalai. Walaupun angka kematian sering kali dikaitkan dengan kadar pertambahan kenderaan di jalan raya, ia bukanlah alasan untuk kita berasa lega. Dengan ribuan nyawa terkorban kerana kemalangan setiap tahun, jalan raya di negara ini sudah bertukar sebagai perangkap maut. Bagaimanapun jalan raya tidak bersalah, malah taraf dan mutu keselamatannya sentiasa dipertingkatkan. Lebuh raya di negara ini adalah antara yang terbaik di dunia, manakala teknologi kenderaan sentiasa memberi penekanan kepada ciri-ciri keselamatan. Begitu juga dengan pelbagai undang-undang dan penguatkuasaan peraturan lalu lintas. Jadi yang bersalah bukan jalan, kenderaan atau peraturan tetapi pengguna jalan raya terutama pemandu kenderaan. Langkah kerajaan untuk memasang Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di 831 lokasi seluruh negara bagi mengesan kelajuan secara automatik, tanpa perlu meletakkan anggota polis trafik seperti diumumkan oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Solah Mat Hassan kelmarin, belum menjamin dapat mendisiplinkan pemandu di negara ini jika pengalaman sebelum ini dijadikan ukuran. Daripada meletak patung polis trafik, memasang papan tanda statistik kemalangan sehinggalah kepada pemasangan kamera, ia ternyata belum cukup untuk mendidik pemandu di negara ini mematuhi peraturan lalu lintas. Malah, saman dan denda yang lebih berat pun tidak dihiraukan oleh kebanyakan pemandu. Barangkali satu cara yang mungkin berkesan tetapi mengambil masa yang lama ialah melalui pendidikan supaya menggunakan jalan raya secara berhemah sejak di bangku sekolah rendah lagi. `Melentur buluh biarlah dari rebung`. Hanya dengan pendidikan, budaya menghargai nyawa dan menghormati undang-undang ketika menggunakan jalan raya, dapat dibentuk pada masa depan. Sehingga budaya itu wujud, pihak berkuasa boleh menimbangkan cadangan dan maklum balas pelbagai pihak bagaimana untuk menangani masalah ini. Antaranya ialah lesen pemandu tegar yang sering melanggar peraturan jalan raya khususnya menyebabkan kematian dibatalkan serta-merta terutama membabitkan pemandu pengangkutan awam seperti lori dan bas ekspres. Selain itu, tidak kurang juga menganggap proses belajar memandu dan mendapatkan lesen di negara ini, yang dianggap longgar, perlu diperkemaskan. Perbandingan boleh dibuat antara kaedah pembelajaran memandu di Malaysia dengan negara maju yang berjaya mengurangkan kadar kemalangan seperti Jepun dan United Kingdom. Seorang pembaca, Mohammad Yusmin Mat Jusoh, yang pernah tinggal lama di United Kingdom, dalam e-mel kepada penulis bersetuju kurikulum belajar memandu di negara ini tidak mencukupi dalam melahirkan pemandu berhemah. “Saya memiliki lesen memandu UK dan Malaysia. Saya dapati dari segi latihan memandu untuk ujiannya, lesen UK lebih berkualiti. Di UK, saya belajar cara untuk mengelak atau mengesan kemalangan ketika memandu tetapi tidak di Malaysia. Cara untuk mengambil posisi di bulatan juga tidak dititikberatkan. Secara jujur saya terkejut bila adik saya boleh lulus ujian memandu (di Malaysia), sedangkan dia selepas itu masih tidak cekap memandu,” katanya. Apa pun, paling penting, keprihatinan pelbagai pihak mengenai kadar kematian dicatatkan pada Ops Sikap kali ini tidak sekadar berakhir dengan tamatnya operasi itu semalam dan hanya muncul semula pada Ops Sikap musim akan datang. Hakikatnya, kadar kematian harian nasional sebanyak 18 orang dan kadar kematian harian musim perayaan 23 orang sebelum Ops Sikap dimulakan, masih tinggi berbanding jumlah kematian harian dicatatkan sepanjang dua minggu lalu. Justeru, janganlah kita hanya bersuara dan melahirkan kebimbangan sekadar menyemarakkan publisiti ketika Ops Sikap tetapi diam tanpa berbuat sesuatu untuk memperbaiki keadaan. Jika pelbagai pihak benar-benar mengambil pengajaran daripada beberapa siri awal Ops Sikap dulu, tentunya operasi itu tidak perlukan sehingga 20 siri semalam dan entah berapa lagi nanti. Sumber: Berita Harian, 2 Oktober 2009. Farah Ilyana (1B2)

Saturday 19 May 2012

KENAIKAN HARGA MINYAK

Kenaikan harga minyak dikaitkan dengan peningkatan secara mendadak harga petroleum di pasaran dunia. Antara sebab yang membawa peningkatan ini ialah pertumbuhan ekonomi global, peperangan di negara pengeluar minyak dan juga kejadian bencana alam yang melanda sesebuah negara itu. Jadi, kenaikan harga minyak ini memang membawa banyak impaknya. Impak yang ketara ialah kos kehidupan masyarakat akan meningkat juga. Kebanyakan harga komoditi terutama makanan dan produk kilang akan meningkat selari dengan pertambahan harga barang lalu bajet bulanan masyarakat turut terjejas. Jelaslah, kos kehidupan akan menjadi bertambah tinggi sebaik sahaja harga minyak melambung. Selain itu, harga barang akan turut menjadi mahal ekoran peningkatan harga minyak ini. Pengguna terpaksa membeli barang keperluan seperti makanan, pakaian dan rumah dengan kadar harga yang jauh lebih tinggi kerana kos hidup bertambah pula. Sesungguhnya, harga barang yang tinggi menyebabkan ada pengguna yang tidak mampu untuk membelinya pula. Malah, tambang pengangkutan terutama pengangkutan awam akan berlipat kali gander pula. Syarikat pengangkutan terutama bas terpaksa meninggikan tambang kerana mereka menggunakan minyak dengan banyak untuk menjalankan operasi perniagaan mereka itu. Maka, kos pengangkutan yang tinggi ini menyebabkan ada ahli masyarakat yang tidak mampu untuk menggunakannya. Tambahan pula, kenaikan harga minyak boleh menjadikan keadaan politik negara tidak stabil. Banyak pihak akan melakukan tunjuk perasaan sebagai satu cara untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kenailkan ini. Jadi, tunjuk perasaan yang kerap itu boleh mencetuskan pelbagai keadaan yang tidak aman pula di dalam negara kita. Kesimpulannya, semua kesan negatif ini memang wujud apabila harga minyak melambung. Kerjasama semua pihak amat diperlukan terutama kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang boleh mengurangkan impak kenaikan ini. Bak kata pepatah, 'sediakan payung sebelum hujan' amat penting direnungi oleh kita semua sebelum terlewat. LAILATUL SYAMIMI

BAGAI AUR DENGAN TEBING

Peribahasa “bagai aur dengan tebing” bermaksud konsep tolong-menolong atau bantu-membantu amat penting dalam sesebuah masyarakat itu. Konsep ini semakin lama semakin hilang ketika negara menongkah arus perubahan dunia ini yang penuh cabaran. Lantaran itu, terdapat beberapa cara yang sesuai untuk merealisasikan konsep ini dalam kehidupan masyarakat kita. Langkah awal ialah satu aktiviti yang melibatkan semua pihak dalam sesebuah kawasan setempat itu harus dilaksanakan dahulu. Penglibatan semua pihak yang mendiami sesuatu kawasan itu amat penting jika konsep ini hendak dipupuk dalam jiwa mereka. Maka, aktiviti yang bersepadu yang melibatkan semua ahli masyarakat boleh mencetuskan konsep tolong-menolong ini. Selain itu, konsep peribahasa ini boleh juga dijalin menerusi kempen kesedaran yang dilaksanakan itu. Kempen yang melibatkan ceramah, pemberian brosur dan taklimat kepada masyarakat setempat akan peri pentingnya konsep ini mampu membuahkan hasil yang menguntungkan pula. Sebenarnya, kempen kesedaran ini boleh menggunakan media massa seperti televisyen untuk mencapai impak yang lebih luas. Bukan sahaja mewujudkan satu aktiviti yang melibatkan semua pihak dan mengadakan kempen tetapi pemupukan konsep ini dalam jiwa pelajar terutama di peringkat sekolah rendah amat praktikal. Kanak-kanak lebih mudah untuk menerima dan mengamalkan konsep kerjasama ini jika mereka didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang berunsur sedemikian ketika berada di sekolah. Justeru, pemupukan konsep bekerjasama ini di peringkat sekolah bakal menyaksikan berlakunya satu perubahan dalam minda masyarakat kita pada masa depan pula. Malahan, usaha mengadakan karnival atau pesta di dalam kawasan perumahan turut mampu mencetuskan perasaan saling membantu ini. Keadaan ini berupaya diwujudkan kerana semua pihak saling mengenali jiran mereka dan mengamalkan konsep kerjasama ini dengan lebih baik lagi. Sesungguhnya, kekerapan bertemu dan berinteraksi antara ahli masyarakat di pesta atau karnival memungkinkan wujudnya amalan bekerjasama ini. Kesimpulannya, konsep peribahasa ini memang boleh diamalkan di negara ini jika semua langkah di atas dilaksanakan segera. Kerjasama semua pihak terutama masyarakat amat diperlukan jika kita mahu konsep ini diamalkan dalam masyarakat. Peribahasa “berat sama dipikul ringan sama dijinjing” merupakan satu lagi peribahasa yang hampir serupa konsepnya yang membuktikan betapa amalan bekerjasama ini diutamakan oleh masyarakat kita dahulu. LAILATUL SYAMIMI

KEPENTINGAN MAKANAN SEIMBANG

Makanan seimbang ialah pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan. Manusia memerlukan makanan dan vitamin untuk pembesaran dan menjaga kesihatan. Media massa turut mempopularkan pemakanan seimbang menerusi pelbagai program dan penulisan artikel mengenai pemakanan yang sihat ini. Oleh itu, wujud pelbagai kebaikan daripada makanan seimbang ini. Kepentingan pemakanan seimbang yang utama ialah sikap ini menjadikan pembesaran manusia itu lebih sempurna daripada aspek fizikal. Tubuh badan menerima semua keperluan zat yang diperlukan untuk membina tubuh badan yang kuat daripada keperluan fizikal manusia. Keupayaan fizikal yang ketara ini menjadikan seseorang manusia itu boleh menjalankan tugasnya dengan begitu baik dan sempurna. Jelaslah, pemakanan seimbang menjadikan fizikal manusia itu lebih baik berbanding manusia lain yang kurang menjaga aspek pemakanannya. Selain itu, pemakanan yang seimbang menjadikan perkembangan mental seseorang itu terganggu pula. Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu tidak cukup cerdas atau mudah letih apabila cuba menyelesaikan sesuatu perkara yang dialami dalam kehidupan seseorang itu. Keadaan ini menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalahnya dengan lebih efektif berbanding dengan individu yang seimbang aspek pemakanannya. Jadi, pemakanan seimbang menjadikan aspek mental manusia lebih stabil dan berdaya tahan. Kemungkinan kepentingan pemakanan seimbang yang mudah difahami ialah makanan yang seimbang memberikan vitamin yang cukup kepada badan seseorang itu. Keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan tubuh manusia itu lebih tahan untuk menghadapi sebarang jangkitan penyakit atau tidak mudah untuk jatuh sakit. Kesihatan manusia dikatakan perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang itu. Sesungguhnya, manusia yang mengamalkan pemakanan seimbang akan mempunyai kesihatan yang sihat sejahtera sahaja. Malahan, pemakanan seimbang turut dikatakan mampu mengawal kadar obesiti masyarakat dunia. Salah satu aspek utama dalam pemakanan seimbang ialah manusia perlulah mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup khasiat yang diperlukan oleh badan. Pengawalan pemakanan sebegi menjadikan tubuh seseorang itu tidak terlalu gemuk dan memudahkan mereka untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti senaman yang mampu menyihatkan badan pula. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam hidupnya. Kesimpulannya, kita perlu mengambil makanan yang seimbang kerana semua kepentingannya sudah dinyatakan tadi. Bukan sahaja individu tetapi masyarakat dan seterusnya negara akan menerima kesan positif daripada pemakanan yang baik ini. Jika masyarakat masih ingkar dan tidak mahu berubah sudah pasti jumlah pesakit penyakit kronik di negara ini akan bertambah pula. Ketika itu mungkin sudah terlewat untuk kita semua mengambil langkah pencegahannya. “Tepuk dada tanya selera”. LAILATUL SYAMIMI

PENGALAMAN BERKELAH

Sebenarnya saya memang suka berkelah di tepi pantai kerana ingin mengalami perasaan ditiup angin sepo-sepoi bahasa yang sejuk nyaman itu. Jadi, apabila ayah dan ibu memberitahu bahawa mereka merancang untuk membawa saya ke pantai Port Dickson, saya berasa begitu bersemangat untuk ke sana. Hati saya begitu ceria menanti saat tersebut malah saya tidak sabar sebenarnya. Perjalanan ke sana dari Kuala Lumpur hanya mengambil masa sejam lebih sahaja. Entah sama ada perasaan gembira saya atau sebab yang lain, perjalanan ke pantai begitu pantas berlalu. Sekelip mata saya sudah berada di tepi pantai bersama-sama ayah dan ibu. Orang ramai juga sudah berkerumun di tempat-tempat strategik untuk menikmati suasana yang nyaman itu. Hati semua nampak girang belaka. Ayah dan ibu menyuruh saya membentangkan plastik besar untuk dijadikan tempat alas kami duduk berehat. Kerja itu saya dilakukan dengan penuh kepatuhan. Tangan saya memastikan tidak ada pasir pantai yang melekat di atas alas plastik itu. Kemudian, ibu meletakkan beberapa bekas makanan dan minuman manakala ayah segera membuka makanan itu. Kami segera menikmati hidangan yang sudah dimasak oleh ibu itu. Sambil makan, ayah dan ibu bertanyakan saya tentang pelajaran di sekolah. Saya memberitahu bahawa pelajaran saya tiada masalah begitu juga dengan hubungan kawan-kawan yang lain. Ayah dan ibu mengambil kesempatan masa bersantai di pantai ini untuk berinteraksi dengan saya. Mereka juga memberitahu bahawa mereka mahu saya menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran kerana peperiksaan semakin hampir. Saya mengangguk kepala tanda faham dan bersetuju. Setelah selesai makan ibu menyuruh saya berjalan di sepanjang pantai itu sementara ibu dan ayah duduk berbual antara mereka. Saya bersetuju dan mula mengatur langkah dengan penuh gembira. Sambil berjalan saya melihat pelbagai telatah pengunjung bersama-sama keluarga mereka. Ada yang sedang bermain bola, ada yang mendengar radio sambil baring dan ada yang kejar mengejar antara kawan. Pada masa yang sama saya juga mendengar suara-suara gelak ketawa antara mereka itu. Alangkah bagusnya jika setiap hari begini kata hati kecil saya. Kami berada di pantai itu hampir tiga jam sebelum menaiki kereta semula untuk menuju ke kota raya. Di dalam kereta ayah sempat bertanya kepada saya tentang perasaan saya. Lalu, saya memberitahu bahawa saya begitu gembira kerana muka saya dihembus oleh tiupan angin laut yang begitu saya suka selama ini. Mak dan ayah hanya ketawa sahaja apabila mendengar kata-kata saya itu. Saya pula tersenyum sambil mengucapkan terima kasih kepada ayah dan ibu di dalam hati saya kerana membawa saya ke pantai. LAILATUL SYAMIMI

KEWUJUDAN PASARAYA BESAR

Salah satu bukti yang menunjukkan bahawa masyarakat sesebuah negara itu sudah maju ialah pasaraya besar wujud dengan begitu ketara dan Malaysia sudah memiliki pelbagai pasaraya besar. Kewujudan pasaraya sebegini sudah menjadi satu lumrah kehidupan terutama di kawasan bandar besar yang mempunyai populasi yang begitu tinggi. Kebanyakan pasaraya besar ini dimiliki oleh syarikat multinasional yang berasal dari negara asing seperti Perancis dan Britain. Sudah pasti akan wujud pelbagai impak ekoran kemunculan pasaraya sebegini dalam budaya kita. Impak negatif yang pertama ialah pasaraya besar ini berupaya menjejaskan keseinambungan peruncit-peruncit kecil-kecilan di negara ini. Kalau dahulu peruncit ini boleh bersaing dengan pekedai lain tetapi kemunculan pasaraya besar sukar ditandingi mereka. Biasanya pasaraya besar membeli barangan dalam bentuk pukal lalu berupaya menjualnya dengan harga yang jauh begitu murah. Pada masa yang sama kos operasi pasaraya ini juga begitu rendah dibandingan dengan peruncit tempatan yang tiada pilihan selain gulung tikar. Maka, semakin banyak pasaraya besar ini semakin tipislah peluang untuk peruncit tempatan untuk mengaut keuntungan. Pada masa yang sama pasaraya besar membawa kemunculan budaya baru pula yakn budaya membeli barangan dalam kuantiti yang banyak. Biasanya pembeli terpaksa membeli dalam jumlah yang banyak untuk mendapatkan lebih banyak potongan harga jika membeli sesuatu produk itu secara berasingan. Keadaan ini menyebabkan timbulnya konsep pembaziran yang keterlaluan terutama dalam aspek penggunaan sesuatu produk dan juga kegunaan wang pengguna. Oleh itu, pasaraya besar menyebabkan budaya membazir muncul dalam masyarakat kita sedikit demi sedikit lalu menjadi satu kelaziman pula suatu masa nanti. Akibat pembinaan pasaraya besar ini tertumpu di kawasan yang padat penduduknya masalah kesesakan lalu lintas pula menjadi semakin kronik terutama ketika hujung minggu atau awal bulan. Kesukaran untuk mendapatkan tempat letak kereta menyebabkan banyak penggunan yang berkunjung ke pasaraya ini sengaja meletakkan kereta mereka di bahu-bahu jalan lalu menghalang kelancaran lalu lintas kenderaan lain pula. Situasi sesak ini pastinya menimbulkan masalah bukan sahaja kepada pengguna tetapi juga kepada penduduk sekitar yang terpaksa menghadapi keadaan yang serupa berulang kali sepanjang hidup mereka. Sesungguhnya, pasaraya besar menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas bukanlah satu isu baru lagi malah sudah menjadi sesuatu yang biasa pula. Natijahnya, pasaraya besar memberikan satu impak yang besar dalam kehidupan masyarakat kita sekarang. Kalau kita kaji secara mendalam semua aktiviti harian masyarakat banyak tertumpu di kawasan pasaraya besar ini. Kalau dahulu berbelanja dianggap sebagai satu kehendak kini aktiviti berbelanja sudah menjadi keperuan atau amalan biasa dalam kehidupan masyarakat kita. Mungkin masyarakat kita tidak akan mengena lagi jiran tetangga mereka kerana sibuk menghabiskan masa di pasaraya sahaja. Bayangkan LAILATUL SYAMIMI

PERANAN JABATAN KEBAJIKAN

Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diwujudkan dengan tujuan membantu kerajaan menangani masalah dalam masyarakat terutama berkaitan dengan kebajikan sosial mereka. Banyak masalah sosial yang wujud di negara ini seperti anak yatim piatu, kes anak angkat dan golongan miskin serta warga emas memerlukan penjagaan pihak tertentu. Pihak media massa telah acap kali menyiarkan berita tentang penglibatan jabatan ini dalam membantu golongan yang bermasalah ini. Oleh itu, pelbagai tugas telah dilaksanakan oleh jabatan ini. Peranan yang ketara ialah jabatan ini memberikan bantuan kewangan kepada kanak-kanak miskin untuk meneruskan persekolahan mereka. Bukan sahaja wang saku diberikan tetapi bantuan buku dan bayaran yuran peperiksaan dilaksanakan oleh jabatan ini dengan baiknya. Pemberian ini banyak dikaitkan dengan kepentingan pendidikan dalam kehidupan seseorang itu terutama pada masa hadapan atau memberikan golongan ini satu cahaya dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran itu. Jadi, jabatan ini memberikan bantuan kewangan kepada kanak-kanak miskin untuk bersekolah. Selain itu, jabatan ini turut memberikan perlindungan kepada kanak-kanak yang teraniaya. Biasanya, kes-kes penderaan menjadi punca kanak-kanak teraniaya di negara ini selain ketiadaan penjaga akibat kematian atau sebab-sebab lainnya. Kanak-kanak ini akan diberikan tempat tinggal, makan minum dan semua keperluan harian lagi untuk memastikan kehidupan mereka lebih terjamin sama seperti mereka memiliki ayah dan ibu pula. Oleh itu, jabatan ini memberikan perlindungan pula kepada golongan yang teraniaya. Jabatan ini juga turut membantu golongan warga emas dengan memberikan golongan ini tempat berteduh yang baik. Kebanyakan warga tua yang tidak mempunyai apa-apa ini akan ditempatkan di rumah orang tua oleh jabatan ini. Di rumah orang tua inilah golongan warga emas boleh bergaul mesra dengan rakan-rakan senasib selain diberi perhatian perubatan dan keperluan kehidupan lain oleh pekerja-pekerja jabatan ini. Jelaslah, nasib warga tua turut diambil berat oleh jabatan ini dengan memberikan mereka tempat berteduh di rumah orang tua. Malahan, pihak jabatan ini turut menghulurkan bantuan kepada golongan kurang upaya dan cacat di negara ini. Bantuan yang diberikan biasanya dalam bentuk latihan untuk memudahkan golongan ini memperoleh pekerjaan atau mencari rezeki dengan lebih mudah. Satu jumlah elaun yang tertentu juga diberikan kepada golongan ini untuk memudahkan mereka meneruskan kehidupan pula. Sesungguhnya, jabatan ini telah memberikan banyak bantuan kepada golongan cacat dan kurang upaya di Malaysia supaya kehidupan mereka lebih baik. Kesimpulannya, Jabatan Kebajikan Masyarakat memainkan peranan yang begitu besar dalam perbangunan rohaniah rakyat negara ini. Jabatan ini berusaha untuk memastikan semua lapisan rakyat Malaysia menerima perhatian dan penjagaan sosial yang sewajarnya. Lantaran itu, kerjasama semua pihak terutama pihak swasta dalam memberikan sumbangan kewangan amat diperlukan dalam memastikan semua program jabatan ini berjalan lancar. Tanpa kewujudan jabatan ini kemungkinan kebaijkan rakyat kita akan terabai.LAILATUL SYAMIMI

PELAJAR KERJA SAMBILAN

Apakah kerja sambilan? Sebenarnya kerja sambilan ini merujuk kerja sementara yang biasanya dilakukan oleh golongan remaja terutama ketika musim cuti sekolah. Kerja ini turut dilakukan oleh golongan tua dan wanita atas dasar untuk menambah pendapatan atau membantu suami menyara keluarga. Sememangnya kerja sambilan wajar dilakukan oleh remaja kerana sudah menjadi satu gaya hidup moden tetapi gaya ini turut mencetuskan pelbagai impak terhadap remaja. Kerja sambilan ini memberi satu pengajaran berguna kepada remaja dalam kehidupan. Jangka masa yang pendek bersama-sama rakan sekerja dan majikan pasti meninggalkan pelbagai kesan yang menarik. Remaja menyedari betapa kehidupan social memerlukan kemahiran tinggi terutama ketika di tempat kerja. Jadi, pengalaman kerja sambilan menjadi alat untuk menjelaskan erti kehidupan sebenar kepada remaja sebelum mereka benar-benar melaluinya. Malah, remaja mampu membentuk personality yang menarik menerusi kerja sambilan ini. Tugas di tempat kerja membina jati diri remaja yang baru kerana kerja ini memerlukan mereka menepati masa, rajin bekerja, menurut arahan, dan menggunakan minda ketika berinteraksi dengan pelanggan. Remaja yang dahulunya malas, tiada wawasan,tidak yakin diri dan sebagainya pasti berubah sebaik sahaja mereka bekerja secara sambilan ini. Sudah pasti kelebihan ketara bekerja secara sambilan ini ialah aspek kewangan. Remaja mempunyai wang mereka sendiri yang memberi sedikit kepuasan dalam hidup. Perasaan mampu membeli sesuatu atas kemampuan kewangan sendiri sememangnya membawa satu perasaan yang tidak dapat dihuraikan. Jelaslah, kerja sambilan memberi satu kepuasan kewangan yang begitu tinggi kepada remaja. Cuma dalam keghairahan remaja bekerja secara sambilan ini, aspek impak negatifnya harus diberi pertimbangan sewajarnya. Remaja menjadi individu yang terlalu sibuk, mementingkan kewangan, lupa tugas belajar mereka dan mungkin terlalu angkuh sehingga menganggap mereka sudah mampu hidup sendiri tanpa bantuan keluarga. Sikap terlalu rapat dengan rakan sekerja yang lebih dewasa turut mampu menjerumuskan remaja ke arah budaya yang tidak sihat. Kesimpulannya, kerja sambilan sememangnya wajar dilakukan oleh remaja tetapi harus secara bertanggungjawab. Remaja harus menimbang dengan mendalam sebelum menyertai kerja sambilan. Bukan sahaja kebenaran ibubapa penting tetapi remaja harus bertanya kepada diri sendiri, adakah ini sesuatu yang ingin mereka lakukan? Atau mereka penuhkan masa cuti mereka dengan aktiviti berfaedah yang lain. LAILATUL SYAMIMI

masalah bidang sastera

Bidang sastera tanah air sering mengalami pelbagai kekangan yang nenyukarkan sastera ini untuk terus berkembang. Pelbagai pihak menyuarakan pandangan mereka yang cuba menghuraikan punca sastera Negara ini terus dilanda malang. Media massa turut menyiarkan pelbagai rencana yang mengaitkan nasib malang dunia sastera kita dengan pelbagai alasan lain pula. Justeru, penulisan kali ini cuba menghuraikan pelbagai kekangan yang membawa industri sastera kita tidak berupaya untuk berkembang dengan baik. Sudah pasti faktor utama yang menyebabkan industri sastera kita tidak boleh berkembang disebabkan jumlah pembaca sastera di negara kita begitu rendah. Keadaan ini menyebabkan tidak banyak penulis sastera yang boleh menjadikan kerja menulis itu sebagai satu sumber pendapatan yang baik buat mereka. Jumlah pembaca yang rendah menjadikan potensi sastera untuk menjadi satu peluang perniagaan yang menguntungkan buat seseorang telah memalapkan lagi bidang ini. Oleh itu, bidang sastera tidak berkembang di Malaysia kerana kita tidak mempunyai jumlah pembaca yang cukup banyak. Malah, ketiadaan jumlah pembaca yang banyak menyebabkan semua buku sastera terbitkan tempatan tidak mampu dijual pada harga yang murah. Keadaan ini menjadikan pembelian buku sastera dilihat sebagai sesuatu pembelian yang mahal nilainya lalu tidak ramai yang sanggup menghabiskan wang pula. Harga yang mahal inilah yang menyebabkan budaya sastera kita tidak akan berkembang dengan baik pada masa hadapan. Justeru, kos harga buku sastera yang terlalu mahal telah menghalang sebarang minat untuk mendekati sastera tempatan daripada berputik dalam jiwa masyarakat kita. Bukan sahaja kekurangan pembaca dan harga buku sastera yang mahal tetapi kemunculan pelbagai teknologi baru dalam bidang permainan video telah memberikan satu tamparan terhadap dunia sastera kita. Golongan remaja lebih suka untuk menghabiskan masa mereka dengan bermain permainan video yang grafiknya lebih menarik dan mengasyikkan itu. Masyarakat tidak lagi memandang buku-buku atau bahan sastera dengan pandangan yang bermakna setelah mereka menghabiskan masa dengan bermain permainan video yang moden ini. Jelaslah, kewujudan teknologi moden terutama permainan video telah menjadikan dunia sastera kita terus mengalami kemalapan yang ketara. Malah, sikap ibu bapa yang memandang sepi kepentingan sastera dalam kehidupan anak mereka telah membawa kurangnya minat membaca. Berapa keratkah ibu bapa kita yang menghadiahi anak mereka buku sastera setiap kali hari lahir anak mereka muncul? Kalau anak tidak dididik sejak kecil untuk membaca seperti ungkapan peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya, sudah pasti mereka tidak akan minat untuk membaca apabila dewasa kelak. Sesungguhnya, kegagalan ibu bapa untuk memupuk amalan membacatelah membawa kesukaran untuk dunia sastera kita berkembang dengan baik. Kesimpulannya, semua halangan yang dijelaskan tadi telah menyebabkan bidang sastera tempatan mengalami zaman melesetnya. Kerjasama semua pihak terutama remaja akan diperlukan untuk memastikan sastera terus mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat kita. Kegagalan untuk memberikan kerjasama ini bakal menyaksikan dunia sastera kita terus hilang ditelan zaman begitu sahaja. Peribahasa “tak lapuk dek zaman, tak lekang dek panas” memberikan kita satu peringatan bahawa sastera negara harus dipantau supaya budaya itu tidak akan hilangan begitu sahaja.LAILATUL SYAMIMI

Wednesday 9 May 2012

Hujan Malam

hujan malam ini
adalah hujan rahmat
ketika insan beristirehat
mencakar bingkai diri
yang lelah
hujan malam ini
adalah penyejuk rahang-rahang minda
yang lelah di serkap tugasan sehari
hujan malam ini
bisa menyenyakkan lena
mampu hadirkan mimpi indah
hujan malam ini
menyejukkan relung-relung hati
yang gundah...
Posted by Yan Pelangi Jingga
NURAMALIA SHUHADA BT AMIR

Yang Terindah

kau yang terindah..
saat menatap raut wajahmu…
hanya mampu membisu…
saat mendengar suara merdumu
indah wajahmu bagai pelangi...
manis senyummu bagai rembulan…
hanya sebuah puisi…
mampu lakarkan rasa hati…
gemulai gerakmu….
ringan senyum mu…
lembut tutur kata mu
buat semua terpesona
Posted by Yan Pelangi Jingga
NURAMALIA SHUHADA BT AMIR

Puteri Lagenda

Mahsuri
Puteri Lagenda
lahir di bumi bertuah
Langkawi
punya darah putih
miliki raut wajah menawan
berkeperibadian mulia
Mahsuri tidak halalkan darahnya tumpah
di bumi kelahiran
sumpahan serta kutukkan nya
menjadikan Langkawi padang jarak padang terkukur
selama tujuh keturunan
mati mu akibat fitnah dan iri hati
dikau di bunuh tanpa di adili sewajarnya
kata sumpahan mu begitu keramat
Langkawi baru kini bersinar di mata dunia
meski pun sudah 193 tahun
jasad mu bersemadi
namun dikau tetap di ingati
Puteri Lagenda Mahsuri
Posted by Yan Pelangi Jingga
NURAMALIA SHUHADA BT AMIR

Tuesday 8 May 2012

Derita Jalanan

Derita jalanan dada bidang sering di pijak
acapkali di hentak
namun tak siapa peduli
biar berlubang hati
biar terkoyak peha kaki
hanya aku menahan kesakitan
dari mentari beliak mata
hingga rembulan berganti
aku terus di landa derita
calar tubuh ku dek geseran tayar
nanah telinga ku dek deruman
berhujan berpanas
aku tetap begini
berkorban diri
Posted by Yan Pelangi Jingga
NURAMALIA SHUHADA BT AMIR

TERTAHAN KERINDUAN

Tertahan kerinduan
Terus bertatih
meninggalkan sejarah silam
jiwa telah pergi jauh meninggalkan mu
namun rindu masih menetap
relung hati masih indah terpahat namu mu
sukar tuk ku buang rasa itu
nyilu hati saat rindu menyapa
ku pandang sekeliling hanya kenangan menemani
entah sampai kapan hidup berteman bayangan mu
dalam keusangan waktu
aku masih berharap
akan ada sebuah keajaiban
yang pasti menembus kerinduan yang menyiksakan ini.
Posted by Yan Pelangi Jingga
NURAMALIA SHUHADA BT AMIR

Sunday 6 May 2012

langkah langkah orang ramai menggunakan pengangkutan awam

Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri dalam mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma, kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan monorel. Jikalau bukan kita yang sebagai warganegara Malaysia menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi menyokong? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam. Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak rakyat mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke tempat destinasi dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu yang dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh negara barat seperti Melbourne, di negara Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket untuk menaiki kereta api dan bas. Seperti kata peribahasa serampang dua mata, pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan. Jikalau sistem tiket bersepadu direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali. Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam adalah dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak rakyat. Selain itu, KTM negara kita haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di Jepun yang menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train). Dengan menggunakan lokomotif kuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat meningkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kekerapan pengangkutan yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu komuter. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan keseluruhan. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kekurangan dalam kekerapan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang keyakinan terhadap pengakutan awam. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk mendapat balik keyakinan rakyat terhadap pengangkutan awam. Langkah memasang televisyen dalam bas awam yang dijalankan oleh kerajaan mendapat banyak komen yang baik dan diberi pujian kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka. Prakasa ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan mengimbas kembali detik-detik sejarah negara dan sebagainya. Selain rancangan sebegini, program lain seperti berita, laporan cuaca, perkembangan sukan, maklumat kewangan juga harus disiarkan supaya rakyat dapat mendapat informasi yang terbaharu dan meningkatkan pengetahuan dalam perjalanan mereka. Hal ini pasti dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana langkah ini telah memenuhi tabiat rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang. Seperti peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Sekolah dicadangkan supaya memberi pelajaran tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar supaya menaiki perkhidmatan awam lebih baik daripada menggunakan kenderaan sendiri. Usaha ini bukan sahaja diberi kepada pelajar yang kecil, tetapi juga harus diberi kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej buruk yang mendalam di dalam hati mereka. Melalui pendidikan, kita dapat menghasilkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang yang menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kenderaan sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam seperti kereta api sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan pengangkutan awam ditanam mendalam kepada mereka. Sebenarnya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan seperti mengurangkan jarak perjalanan, menghematkan masa, mempercepat operasi penghantaran barangan ke sesuatu destinasi dan sebagainya kepada kita. Akhir kata, pemodenan sistem perhubungan darat merupakan inovasi yang penting ke arah mewujudkan mobilisasi sumber tenaga manuasia pada tahap yang paling optimum. Lantaran itu, kita harus menyokong usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam meningkatkan penumpang menaiki pengangkutan awam. lailatul syamimi

peranan kita dalam usaha

Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah ingat bahawa orang lain, iaitu bangsa lain tidak akan menyebarkan bahasa Melayu ke seantero dunia, kecuali kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah mempunyai iltizam untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa terpenting pada suatu hari nanti. Oleh itu, langkah yang pertama ialah kita perlulah memastikan bahawa bahasa Melayu mestilah diterima di tanah air sendiri. Jika bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga bahasa rasmi di negara kita ditolak oleh sebilangan besar rakyat di negara kita, bagaimanakah penduduk dunia mahu menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kedua mereka? Oleh hal yang demikian, kita mestilah menyokong segala usaha yang bertujuan meningkatkan atau memartabatkan bahasa Melayu di negara sendiri. Selain itu, kita juga hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui peranan kita sebagai duta kecil ketika berada di luar negara. Sama ada kita sebagai pelajar, pelancong, atau pekerja, kita mestilah sentiasa berusaha untuk menyebarluaskan bahasa Melayu dengan pelbagai cara. Ketika berada di luar negara, apalah salahnya jika kita mengajar rakan kita dari negara lain untuk mempelajari bahasa Melayu. Untuk menarik perhatian mereka, kita juga mestilah bersedia untuk mempelajari bahasa mereka. Jika kita bersedia untuk mempelajari bahasa mereka, mereka juga pasti bersedia untuk mempelajari bahasa kita. Seterusnya, kita hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui pejabat kedutaan negara kita di luar negara. Di seluruh dunia, terdapat 104 buah kedutaan Malaysia yang mampu memainkan peranannya untuk menyebarluaskan bahasa Melayu. Melalui kedutaan tersebut, kita hendaklah mengetengahkan bahasa Melayu di negara-negara asing dalam pelbagai acara atau majlis. Melalui usaha ini, bahasa Melayu akan lebih dikenali, dipelajari, dihayati dan seterusnya dihormati oleh warga dunia. Pepatah Melayu mengatakan,"tak kenal maka tak cinta". Sebagai rakyat yang mempunyai semangat `bahasa jiwa bangsa’, kita hendaklah mempunyai iltizam atau kesungguhan untuk mempromosikan bahasa Melayu walau di mana-mana jua kita berada. Dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi ini pula, rakyat Malaysia mestilah memanfaatkan penggunaan Internet. Mereka yang pakar dalam bidang ini seperti ahli akademik, pakar bahasa dan sebagainya hendaklah menyebarluaskan bahasa Melayu melalui laman web atau blog bagi membolehkan masyarakat dunia untuk mendekati dan mempelajari bahasa Melayu. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan masyarakat di duni mencari dan memperoleh maklumat melalui Internet. Oleh itu, kita mesti;ah mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan bahasa Melayu. Oleh sebab Internet merupakan medium yang paling murah, mudah dan cepat untuk menyebarkan maklumat, kita mestilah mengeksploitasikan kelebihan ini untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu ke seantero dunia. Bukan itu sahaja, kita juga hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui filem. Jika penerbit filem di negara kita mampu menghasilkan filem yang bermutu, sudah pasti masyarakat antarabangsa akan menerima filem kita. Apabila mereka menerima filem kita, hal ini akan memberikan peluang kepada mereka untuk mendalami dan mempelajari bahasa dan budaya Melayu. Namun, masalah yang kita hadapi ialah penerbit filem negara kita masih belum mampu menghasilkan filem yang bertaraf antarabangsa seperti filem yang dihasilkan oleh negara Hongkong, Jepun, Korea , Bollywood, dan sebagainya Jadi, jika kita mahu menggunakan filem sebagai satu cara untuk menyebarluaskan bahasa Melayu, kita mestilah memartabatkan dan mengantarabangsakan filem Melayu juga. lailatul syamimi

pertanian

1. Pembangunan lestari dalam pertanian ---MAKSUD PERTANIAN LESTARI :mempertingkatkan sumber pertanian dan produktiviti pertanian untuk masa kini dan akan datang di samping pembangunan pertanian selari dengan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber pertanian agar tidak berterusan merosot ---Menanam tanaman tutup bumi seeperti pokok kekacang untuk mengelakkan kejadian hakisan tanah semasa proses penyediaan tapak pertanian. ---Lebih banyak menggunakan baja organic untuk mengelak kesan pencemaran air akibat penggunaan baja kimia yang berlebhan ---Pengawalan serangga perosak dengan menggunakan kaedah biologi- menggunakan burung hantu untuk mengawal tikus 2. Mempertingkatkan penggunaan sistem pengeluaran intensif berautomasi dan mekanisasi --- mengurangkan tenaga kerja sebanyak 2.8 % setahun daripada 1,429,000 pekerja dalam tahun 1995 kepada 930,000 pekerja dalam tahun 2010 ---meningkatkan produktiviti (Produktiviti pekerja dijangka meningkat daripada RM11,360 kepada RM24,730 setiap pekerja dalam tempoh yang sama) ---mengurangkan keluasan tanah untuk pertanian(Tanaman getah, padi, kelapa dan koko masing-masing dijangka akan berkurangan iaitu seluas 494,000 hektar, 302,600 hektar, 73,400 hektar dan 30,700 hektar) 3. Pendekatan Dasar Pertanian Negara 3 (DPN 3) --- Pendekatan Perhutanan Tani (Agroforestry Approach)>>> membenarkan pengeluaran produk pertanian dan perhutanan diatas tanah yang sama, penanaman spesis perhutanan bersama tanaman industri bagi memaksimumkan pulangan pelaburan tanah --- Pendekatan Berasaskan Produk (Product-Based Approach)>>> sebelum pengeluaran, produk dan pasaran dikenal pasti terlebih dahulu yang berdasarkan kehendak pasaran, cita rasa dan potensi 4. Penyelidikan terhadap tanaman untuk menghasilkan baka yang berkualiti --- bersikap seperti genggam bara api, biar sampai jadi arang dalam menemukan teknik mencipta klon yang bermutu --- mengadakan usaha sama dengan negara-negara jiran agar faedah yang diperoleh dapat dikongsi bersama ---Benih padi seperti Bahagia dan Malinja yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) dapat mencapai kematangan dalam tempoh yang singkat. ---Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) pula berjaya membiakbakakan Klon 600 yang bermutu tinggi 5. Pemantauan bersepadu terhadap kualiti hasil pertanian --- Piawaian-piawaian yang ditetapkan oleh CODEX Alimentarius Commission, Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) dan Euro Retailer Working Group Good Agriculture Practice (EUREPGAP)---perlu diamalkan bagi menjamin kemasukan produk kepada negara pengimport.lailatul syamimi

Saturday 5 May 2012

PERANAN IBU BAPA

Keluarga boleh ditakrifkan sebagai kaum kerabat atau sanak saudara yang saling mengasihi, mencintai dan bersifat belas kasihan terhadap saudaranya yang lain. Tambahan pula, keluarga merupakan aset terpenting dalam kehidupan setiap insan. Seseorang yang tidak mempunyai keluarga, iaitu hidup sebatang kara, tidak mempunyai tempat bergantung untuk menumpang kasih serta hidup bagaikan layang-layang terputus tali. Pada tahun 2003, Malaysia pernah digemparkan dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Nur Amalina yang amat membanggakan. Hal ini kerana beliau berjaya mendapat 17A1 sekali gus menjadikan beliau pelajar cemerlang SPM 2003. Kejayaan ini adalah kerana Nur Amalina mempunyai sebuah keluarga yang penyayang dan sanggup memberikan sepenuh sokongan dan dorongan dalam bidang akademik beliau. Jelaslah bahawa faktor kejayaan anak-anak dalam bidang akademik banyak bergantung kepada dorongan dan sokongan daripada keluarga. Terdapat pelbagai jenis sokongan dan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk memastikan kecemerlangan anak-anak kerana keluarga bahagia pemangkin kecemerlangan anak-anak. Antara peranan daripada keluarga ialah kepimpinan melalui teladan. Anak-anak akan lebih terdorong untuk mengikut jejak langkah kejayaan ibu bapa mereka kerana ibu bapa lebih mengenali dan rapat dengan anak-anak . Ibu bapa yang berjaya akan menjadi idola dan inspirasi untuk kecemerlangan anak-anak. Tambahan pula, kejayaan ibu bapa akan menyebabkan anak-anak cuba mememotivasikan diri mereka sekali gus merubah kehidupan mereka agar berjaya atau lebih berjaya daripada ibu bapa mereka. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan ibu bapa yang berjaya mempunyai anak-anak yang berpotensi untuk berjaya seperti mereka. Buktinya, kajian statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati hampir 50 peratus rakyat Malaysia terlibat dengan gejala negatif lazimnya mempunyai konflik keluarga. Oleh itu, benarlah bahawa kepimpinan melalui teladan merupakan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk kecemerlangan anak-anak. Malah, pada realitinya, ibu bapa sanggup memerah keringat, membanting tulang dan bekerja keras dengan tulang empat kerat mereka agar memperoleh pendapatan yang lumayan dan mewah. Hal ini kerana ibu bapa mahu memberikan kemudahan dan keselesaan yang secukupnya kepada anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Semua ibu bapa menginginkan kejayaan daripada anak-anak supaya anak-anak mempunyai masa depan yang cerah. Mereka tidak mahu anak-anak mereka hidup susah.Sebagai contoh, ibu bapa yang tidak berkemampuan terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang semata-mata untuk membiayai persekolahan anak-anak mereka. Dalam era modenisasi ini, pendidikan semakin memerlukan kos yang tinggi. Hal ini menyebabkan ibu bapa terpaksa bekerja dengan lebih kuat dan lebih masa untuk menampung kos pendidikan anak-anak mereka. Buktinya, mantan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pernah menyatakan bahawa wang ringgit bukanlah pengganti kasih sayang malah semua ibu bapa sanggup mengorbankan apa-apa sahaja untuk kebahagiaan cahaya mata mereka. Kenyataan ini membuktikan bahawa ibu bapa rela berkorban demi anak-anak mereka sekali pun terpaksa bergadai nyawa. Sudah terang lagi bersuluh bahawa pengorbanan ibu bapa menjadi dorongan untuk anak-anak cemerlang dalam bidang pelajaran. Dorongan lain yang boleh diberikan oleh keluarga adalah dengan memberikan anak-anak didikan agama yang sempurna. Hal ini kerana anak-anak yang mempunyai didikan agama yang sempurna akan terang hati dan lebih mudah untuk menerima pelajaran. Mereka akan mempunyai prinsip hidup yang teguh, sekali gus menyebabkan mereka tidak mudah terpengaruh oleh gejala negatif yang semakin berleluasa seperti kudis dalam masyarakat marcapada ini. Kejayaan Nadia Amira yang cemerlang dalam SPM 2006 menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai didikan agama yang sempurna mampu meraih kejayaan. Albert Einstein pernah mengatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Oleh itu, jelaslah bahawa didikan agama yang sempurna merupakan salah satu dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga demi kecemerlangan anak-anak dalam bidang akademik. Sebagai intiha, dorongan daripada keluarga merupakan faktor terpenting kejayaan anak-anak. Rentetan itu, ibu bapa serta ahli keluarga yang lain wajarlah bersatu padu bagai aur dengan tebing dan sama-sama berusaha seperti hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk merealisasikan impian murni mereka. Dorongan keluarga dapat melahirkan anak-anak yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang dilaungkan mantan Perdana Menteri kita yang lebih dikenali sebagai "Pak Lah". Marilah kita buktikan kepada dunia bahawa pemikiran rakyat Malaysia tercinta ini tidak lagi dibelenggu atau tidak lagi umpama katak di bawah tempurung, malah telah bertamadun dalam menuju era globalisasi untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain untuk negara maju .LAILATUL SYAMIMI

KESAN JEREBU

Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah, rakyat Malaysia telah digemparkan lagi dengan berita Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Kuala Lumpur yang meningkat secara mendadak akibat berlakunya jerebu. Keadaan jerebu di Malaysia yang berlaku secara tahunan telah menjadi suatu kebiasaan bagi penduduk di bandar raya besar tersebut. Masalah jerebu yang seperti bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan daun nyiru telah mendapat liputan meluas daripada pihak media massa dan dalam kalangan rakyat Malaysia. Keadaan jerebu bertambah serius akibat berlakunya fenomena El-Nino. Persoalannya, apakah faktor dominan berlakunya jerebu? Adakah pihak kerajaan sahaja yang memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah jerebu ini? Tepuk dada tanyalah selera. Oleh sebab setiap yang berlaku pasti ada akibatnya, masalah jerebu telah mendatangkan pelbagai impak yang negatif kepada negara kita dan juga rakyat kita. Antara kesan negatif yang disebabkan oleh jerebu ialah kualiti udara negara kita akan terjejas. Udara negara kita yang segar dan bersih akan dipenuhi oleh debu dan asap setiap kali jerebu melanda sehinggalah jarak penglihatan mendatar yang dahulunya sejauh 2 kilometer menjadi 50 meter. Sebagai contoh, pada bulan Ogos 2005, negara kita dilanda jerebu yang paling teruk dalam sejarah negara kita, di mana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang mencecah lebih 500 buat kali pertama di Malaysia sehingga darurat diisytiharkan di kedua-dua kawasan tersebut, justeru segala aktiviti luar tidak dapat dijalankan dan kebanyakan sekolah, pelabuhan dan kilang ditutup buat sementara. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa jelaslah jerebu boleh mendatangkan keburukan terhadap negara kita. Jerebu juga boleh menyebabkan masalah kesihatan rakyat. Golongan yang lebih lemah seperti kanak-kanak dan warga tua mudah jatuh sakit. Hal ini berlaku kerana jerebu menyebabkan badan menjadi lemah dan imunisasi semakin rendah. Penyakit-penyakit selesema dan batuk akan mudah merebak. Misalnya, pesakit-pesakit asma dan penyakit respiratori mudah diserang penyakit pernafasan lain. Hal ini berlaku kerana pernafasan mereka menjadi tidak baik dan ditambah pula udara yang kurang bersih maka kesihatan mereka akan mudah terancam. Dalam jangka masa yang panjang, kita juga mungkin akan sakit kerongkong, kegatalan kulit, kemerahan mata dan sebagainya. Dengan itu, jelaslah bahawa jerebu membawa kesan negatif kepada kesihatan orang ramai. Selain kemerosotan taraf kesihatan rakyat Malaysia, sektor ekonomi negara turut terjejas akibat kerenah jerebu yang berlaku di Malaysia. Tahap penglihatan yang rendah menyebabkan aktiviti luar disekat dan industri perikanan dan pertanian terpaksa dihentikan demi menjamin keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja. Rakyat Malaysia yang terlibat dalam bidang perikanan dan pertanian terpaksa mencari alternatif yang lain untuk mencari pendapatan buat sementara waktu. Apabila masalah jerebu menjadi semakin meruncing, kesan negatif yang lebih serius akan timbul. Sumber pendapatan negara turut terancam akibat jerebu. Sumber pendapatan negeri-negeri yang berasaskan industri pelancongan seperti Sabah dan Sarawak akan merosot kerana industri pelancongan terjejas akibat jerebu. Para pelancong bukan sahaja dari dalam negeri malah dari negara asing tidak akan melawat ke Malaysia sekiranya jerebu masih berlaku di Malaysia kerana bimbang akan keselamatan dan kesihatan mereka semasa melancong ke Malaysia. Secara tidak langsung, ekonomi negara kita akan terjejas akibat jerebu. Jika dilihat dari perspektif lain, masalah jerebu dapat menjejaskan flora dan fauna di negara kita. Apabila jerebu berlaku, kandungan karbon dioksida berlipat ganda daripada kandungan yang biasa, sebaliknya kandungan oksigen akan kurang daripada yang biasa. Hal ini akan menyebabkan tanaman akan mengambil masa yang lebih lama untuk membesar. Kualiti dan hasil tanaman juga akan merosot. Hal ini disebabkan oleh proses fotosintesis yang terjejas akibat kandungan karbon dioksida yang berlebihan. Proses pernafasan yang melibatkan penyerapan gas oksigen dan pembebasan gas karbon dioksida ini menyebabkan tumbuhan hijau tumbuh dengan lebih lama. Misalnya, pokok balak akan mengambil masa yang lebih panjang untuk matang. Secara tegasnya, hasil dan kualiti pertanian boleh terjejas sehingga 30 peratus. Sumber petani akan turut terjejas sekali gus ekonomi negara yang bergantung pada pertanian turut terjejas. Bagi fauna pula, hidupan akuatik akan terjejas kerana kandungan oksigen yang terlarut dalam air pula akan berkurang dan hidupan akuatik seperti ikan-ikan tidak akan mendapat oksigen yang secukupnya. Jelaslah bahawa masalah jerebu akan menjejaskan flora dan fauna negara. Intihanya, semua pihak termasuklah rakyat Malaysia haruslah bersinergi dan berganding bahu dalam menyelesaikan masalah jerebu di Malaysia bagi mendukung kebenaran yang kita sepakati, persis kata cendekiawan, “bagai aur dengan tebing.” Sekiranya masalah ini dipandang enteng, nyawa modal insan negara kita akan menjadi “seperti telur di hujung tanduk.” Kebobrokan sikap anak-anak juga mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk mengatasi masalah jerebu dan seterusnya menggapai impian Wawasan 2020. Sekiranya masalah jerebu di negara kita tidak diatasi dengan segera, lama-kelamaan efek buruknya akan menjadi berpanjangan dan berkekalan serta sukar untuk diselesaikan .LAILATUL SYAMIMI

PEMANASAN GLOBAL

Bumi kini sedang mengalami “demam panas” akibat pemanasan global yang turut membawa bersamanya iklim dunia yang semakin kucar-kacir. Bagi kebanyakan orang, perubahan iklim dan pemanasan global lebih banyak mengganggu ekonomi berbanding dengan kesihatan diri. Walau bagaimanapun, kesan pemanasan global jauh lebih mendalam dan akan meninggalkan kesan kepada semua penduduk dunia. Mungkin juga ada antara kita yang melihat mereka yang terbunuh akibat bencana alam seperti taufan, banjir dan cuaca panas sebagai malang. Tetapi, bagaimanakah pula bagi mereka yang terselamat? Adakah mereka bebas daripada sebarang ancaman kesihatan selepas terselamat daripada lemas, mati kesejukan atau dehidrasi? Percaya atau tidak, peningkatan suhu bumi telah membunuh lebih satu juta orang di seluruh dunia sejak tahun 2000 sama ada secara langsung ataupun tidak. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengeluarkan perangkaan tersebut menjelaskan separuh daripada jumlah kematian itu berlaku di Asia Pasifik, benua yang paling padat penduduk. Selain itu, jumlah berkenaan belum ditambah dengan 800,000 lagi mangsa yang terbunuh akibat pencemaran udara setiap tahun. Pemanasan global berpunca daripada pencemaran udara yang meningkatkan jumlah gas-gas karbon yang turut dikenali sebagai gas rumah hijau di dalam atmosfera bumi. Haba matahari yang pada kebiasaannya dapat dipantulkan ke permukaan bumi kembali ke angkasa lepas kemudiannya terperangkap dan menyebabkan suhu bumi semakin meningkat. Akibatnya, ais di kutub-kutub mula mencair dan meningkatkan paras air laut sehingga menenggelamkan sesetengah pulau kecil dan menghakis permukaan tanah besar. Selain itu, suhu tinggi ini turut meninggalkan kesan pada aliran angin yang akan membawa kepada pembentukan lebih banyak ribut taufan serta hujan monsun yang lebih teruk teruk daripada biasa. Contoh terbaik mangsa perubahan cuaca dunia dapat dilihat dalam gelombang haba di Eropah yang menyebabkan angka kematian meningkat sejak tahun 2000. Gelombang ‘kepanasan’ ini telah menyebabkan suhu ketika musim panas dan musim sejuk di Eropah kini jauh lebih tinggi daripada kebiasaannya.Perubahan sama turut dirasai oleh wilayah beriklim tropika yang menghadapi musim monsun lebih teruk kini, sementara negara seperti Amerika Syarikat dilanda ribut salji dan ribut taufan lebih teruk seperti Taufan Katrina pada tahun 2005. Pada tahun 2006, sepuluh negara yang paling teruk dilanda bencana alam ialah Filipina, Korea Selatan, Indonesia, Vietnam, Ethiopia, India, China, Afghanistan, Amerika Syarikat dan Romania. Kesan masalah ini akan terus berpanjangan dan akan semakin teruk jika terus diabaikan atau gagal dikawal. Akibatnya, generasi seterusnya yang akan menanggung kesan penuh kerakusan generasi kini mencemarkan alam sekitar semata-mata untuk kekayaan dan kemajuan ekonomi. Sebarang bentuk perubahan melampau pasti akan memberi kesan paling buruk kepada bayi, kanak-kanak dan warga emas yang sering dilihat menjadi mangsa pertama kejadian bencana.Rakyat Malaysia mungkin dapat menyesuaikan diri dengan suhu yang tinggi dan panas terik memandangkan sudah biasa dengan iklim tropika bak kata pepatah 'alah bisa tegal biasa'. Walau bagaimanapun, penduduk yang biasa hidup dengan iklim sejuk mungkin tidak dapat menyesuaikan diri dan kini mencatatkan peningkatan kematian akibat strok haba. Strok haba akan menyebabkan kegagalan semua organ badan berfungsi, sama seperti yang berlaku kepada pesakit demam panas. Begitu juga dengan penyakit pneumonia atau radang paru-paru yang berpunca daripada penyebaran meluas bakteria yang menyerang paru-paru berikutan cuaca panas dan lembap serta beberapa faktor lain. Sesetengah kawasan turut berhadapan dengan masalah dehidrasi yang teruk berikutan kemarau panjang yang berpunca daripada gelombang panas dan peningkatan paras air laut yang mencemari sumber air tawar dengan air masin dari laut. Peningkatan suhu juga akan menggalakkan pembiakan vektor seperti tikus, nyamuk,kutu dan pepijat. Penyebaran vektor seperti nyamuk menyebabkan penyakit seperti malaria, denggi dan demam kuning yang mula dicatatkan di Eropah dan kawasan yang dahulunya beriklim sejuk. Hal ini terbukti apabila negara beriklim sejuk seperti Nepal dan Bhutan mencatatkan kes malaria pertama di kawasan-kawasan tanah tinggi dua negara tersebut. Sementara itu, tikus juga dilihat dapat membiak dengan lebih mudah dalam cuaca panas dan lembab ini. Haiwan ini mampu menyebarkan penyakit Leptopirosis dan Legionellosis yang disebarkan melalui kuman yang ditinggalkan bersama urin atau najis tikus. Ketika banjir, tahap kebersihan amat sukar untuk dijaga terutama kebersihan air. Kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih akan mendedahkan orang rami kepada air yang dicemari pelbagai jenis kuman. Kesihatan diri sudah pasti akan terancam jika air tercemar digunakan segai air minuman, memasak, membasuh atau membersihkan diri. Bilangan kes cirit-birit , disentri dan pelbagai penyakit bawaan air dilihat meningkat dengan mendadak ketika musim banjir. Situasi ini diburukkan lagi dengan peningkatan kes bawaan nyamuk akibat pembiakan nyamuk di dalam tompokan air bertakung yang ditinggalkan arus banjir. Takungan air ini menjadi tempat strategik untuk kuman yang pantas membiak kerana mendapat bekalan makanan yang cukup dari tumbuhan dan bangkai haiwan yang mereput. Masalah ini juga memberi kesan yang buruk kepada mereka yang gemar bersenam dan beriadah di luar. Hal ini demikian kerana gas rumah hijau seperti karbon monoksida kini semakin banyak dalam udara terutamanya di kawasan bandar dan kawasan yang mempunyai bilangan kenderaan yang banyak. Apabila gas ini disedut terlalu banyak, ketika bersenam atau beriadah, menyebabkan kandungan oksigen darah jatuh mendadak dan kandungan gas karbon monoksida yang banyak boleh memberi kesan kepada badan dan jantung. Tanggungjawab memulihara alam sekitar perlu dipikul oleh semua penduduk dunia dan tidak sepatutnya dibiarkan kepada kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan dunia semata-mata bak kata pepatah 'yang ringan sama dijinjing yang berat sama dipikul'. Rakyat turut memainkan peranan penting dengan mengambil berat akan kesejahteraan sejagat dan tidak hanya mementingkan kemajuan sendiri tanpa mengambil kira akibat kerakusan mengejar kekayaan dunia kerana 'sikap tamak membawa kerugian'. Walaupun hanya dengan sumbangan kecil seperti tidak membuat pembakaran terbuka dan mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor oleh sebanyak mungkin individu, setidak-tidaknya kita dapat membantu mengawal pemanasan global. Sayangi dan cintailah bumi kita demi kesejahteraan dan keharmonian kehidupan generasi akan datang.LAILATUL SYAMIMI

KELUARGA IMPIAN SAYA

Rumahku, syurgaku". Kenyataan ini menunjukkan betapa pentingnya peranan ahli keluarga dalam kehidupan seseorang. Keluarga impian saya ialah keluarga bahagia. Apakah ciri-ciri yang harus ada pada sesebuah keluarga bahagia? Cuba fikirkan sejenak! Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut, setiap individu harus memikul dan melaksanakan kewajipannya untuk mewujudkan keluarga bahagia. Ibu bapa memainkan peranan yang paling penting dalam mewujudkan kebahagiaan dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk keperibadian dan sahsiah anak-anak. Ibu bapalah yang akan membekalkan kehidupan sempurna kepada anak-anak. Anak diibaratkan sebagai sehelai kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya sama ada seindah warna pelangi atau semalap masa depannya. Ibu bapanya yang merupakan guru terdekat harus menunjukkan teladan yang baik. Ibu bapa ialah teladan anak-anak, bak kata pepatah ,”bagaimana acuan, begitulah kuihnya”. Pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak untuk membezakan “yang mana intan, yang mana kaca”. Ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung, darah setampuk pinang tidak terjebak dalam kancah negatif. Ibu bapa harus memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak. Selain itu, ibu bapa harus mencurah kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak seperti “menatang minyak yang penuh” . Didikan agama dan moral yang teguh harus disemai dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi, bak kata pepatah “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Seseorang yang tidak mempunyai pegangan agama dan moral yang teguh diibaratkan seperti “kapal tanpa nakhoda”. Tambahan pula, ibu bapa harus meluangkan masa untuk menemani anak-anak dan memahami masalah mereka di samping berusaha menyelesaikannya. Ibu bapa hendaklah mengambil berat terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa janganlah begitu rakus mengejar fatamorgana mereka dalam aspek kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Hukuma-hakam Arab pernah mengatakan bahawa anak- anak yang kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak hendaklah menuruti ajaran ibu bapa. Anak-anak harus belajar bersungguh-sungguh, mendapatkan keputusan cemerlang untuk membalas jasa ibu bapa. Anak-anak sepatutnya memuliakan dan menjaga maruah diri dan keluarga dengan tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak sihat seperti vandalisme, lumba haram, menagih dadah dan sebagainya. Anak-anak yang berjaya hendaklah mengenang jasa ibu bapa dan janganlah bersikap seperti “kacang lupakan kulit”. Anak-anak janganlah lupa bahawa ibu bapalah yang mendidik, membimbing, dan menjaga mereka. Kalau bukan ibu bapa, siapakah kita? Anak-anak hendaklah mentaati ibu bapa. Dalam sesebuah keluarga, ahli-ahli keluarga saling menghormati dan memahami. Ahli-ahli keluarga sepatutnya bertolak-ansur dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham. Keluarga bahagia ialah keluarga yang harmani, aman dan damai. Ahli-ahli keluarga akan saling membantu dan bekerjasama, bak kata pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Natijahnya, semua ahli keluarga berperanan mewujudkan keluarga bahagia. Institusi keluarga boleh diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada berjuta-juta batu-bata. Keluarga bahagia banyak memerlukan unsur juga. Contohnya, kasih sayang, kerjasama, toleransi dan sebagainya.LAILATUL SYAMIMI

JEREBU

Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas dan berkembang ini, masyarakat pada hari ini sering berhadapan dengan masalah jerebu yang bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan nyiru lagi. Fenomena jerebu ini seolah-olah telah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana telah acapkali melanda negara kita. Pada tahun 2005, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan telah menyebabkan jerebu yang teruk di Semenanjung Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Kelang. Di samping itu, Kuala Selangor dan Pelabuhan Kelang telah diiystiharkan darurat kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua kawasan itu telah melebihi 500, iaitu tahap darurat. Pada tahun 2006, masalah jerebu turut berlaku sekali lagi. Masalah jerebu yang banyak mengundang kontroversi ini, sebenarnya disebabkan oleh beberapa punca, persis kata orang tua-tua , “ jikalau tiada angin, masakan pokok bergoyang ”. Faktor dominan yang menyumbang kepada masalah jerebu ialah pembakaran hutan secara besar-besaran. Sebenarnya, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya akibat suhu meningkat . Hal ini berlaku demikian kerana fenomena pemanasan global yang sedang berlaku di muka bumi ini. Di negara jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering berlaku kerana pihak Indonesia ingin membina infrastruktur yang baharu seperti bangunan, sekolah dan lebuh raya. Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan secara berleluasa. Apabila angin bertiup dari Sumatera ke Malaysia, angin tersebut akan membawa jerebu bersama-sama ke negara kita. Natijahnya, udara kita semakin tecemar sementelahan pula Indeks Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras berbahaya. Oleh itu, pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah separuh bakar berterbangan di atmosfera lalu berlakulah jerebu. Seterusnya, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan juga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap. Sesetengah rakyat negara pula melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah semula. Jadi, mereka telah mengambil jalan mudah dengan membakar sampah sarap mereka tanpa kisah jika asap daripada pembakaran terbuka itu yang sedikit demi sedikit membawa kepada masalah jerebu. Ada pula sesetengah petani yang membakar jerami padi untuk membersihkan kawasan sawahnya sebelum melakukan penanaman semula. Mereka tidak sedar bahawa asap dari pembakaran ini tidak akan berada di suatu tempat sahaja tetapi akan ditiup angin dan meliputi kawasan yang amat luas. Natijahnya, pembakaran terbuka ini melepaskan asap ke udara dan mengakibatkan jerebu. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah kenderaan di jalan raya. Kenderaaan yang tidak dilengkapi pengubah pemangkin telah menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari. Kesesakan lalu lintas menyebabkan kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap pencemar. Gas-gas pencemar ini merupakan bahan terampai yang memenuhi udara. Gas-gas yang dibebaskan pula tidak dapat dibebaskan ke atmosfera dan sebaliknya terperangkap dalam lapisan bumi. Kejadian gas-gas yang terperangkap ini bagai selimut yang menutupi bumi. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita. Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri yang tidak terkawal. Hal ini berlaku demikian kerana sesebuah negara banyak bergantung pada bidang perindustrian yang mengaut keuntungan yang lumayan demi kemajuan negara. Malangnya, sikap pengusaha kilang yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan asap-asap dari kilang yang dilepaskan ke udara telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asap-asap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu. Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang yang tidak terkawal dan tidak mengikut prosedur tertentu akan memburukkan keadaan jerebu di negara kita lagi. Sebagai penutup bicara, jerebu merupakan fenomena alam yang memberi kesan yang buruk kepada manusia. Fenomena jerebu yang disebabkan oleh proses alam semula jadi tidaklah menyebabkan jerebu yang buruk berbanding dengan jerebu yang disebabkan oleh aktiviti manusia. Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini, sebaliknya langkah-langkah efektif perlu diambil sebelum kemelut tersebut berada di luar kawalan persis kata orang tua-tua, “sebelum nasi menjadi bubur”. Sekiranya masalah jerebu tidak mendapat perhatian ramai, nescaya generasi yang akan datang ketandusan nilai cinta akan alam sekitar. Oleh itu, semua wargabumi haruslah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah berjerebu di Malaysia yang semakin serius supaya masyarakat sejagat dapat hidup dengan selamat. Tidak gunanya kita meratapi kehilangannya suatu ketika nanti.LAILATUL SYAMIMI

PUTARAN RODA

putaran roda terkadang perlahan
adakalanya laju merentasi jalanan
jalan lurus beronak berliku
namun begitu
kita harus tabah mengharungi
liku-liku tajam curam dalam
andai tersasar kayuhan
musnahlah kehidupan
putaran hidup tiada noktahnya
hanya Allah bisa menghentikan
dan nanti putaran bermula di lain dunia
roda terus berputar tanpa henti
tiada penat tiada lelah
Posted by Yan Pelangi Jingga
NURAMALIA SHUHADA BT AMIR

KASIH SAYANG

Assamualaikum semua yg disayangi,
Kasih sayang umpama air.Tanpa air,kita akan kehausan.
Kasih sayang umpama udara.Tanpa udara,sesaklah nafas.
Kasih sayang umpama mentari.Tanpa mentari,tiadalah cahaya.
Kasih sayang umpama bulan.Tanpa bulan,tiadalah seri.
Namun dalam kesibukan manusia bekerja,sibuk mencari wang,
sibuk meningkatkan prestasi diri,
sibuk memuja minat sehingga ada yang mengabaikan nilai kasih sayang di dalam kehidupan.
Sesungguhnya sifat kasih sayang adalah milik setiap makhluk.
Oleh itu,suburkanlah perasaan kasih sayang di dalam diri masing masing sebelum terlambat.
Apatah lagi,kita diajar dan dididik oleh Nabi saw untuk sentiasa berkasih sayang.Alangkah indahnya hidup ini jika kasih sayang ada di mana mana.
Lebih indah lagi andai kasih yang dicurahkan itu kerana mengharap redha Allah SWT.
Yan Pelangi Jingga NURAMALIA SHUHADA BT AMIR

MENGENAI HIV

HIV adalah virus yang menyebabkan AIDS. HIV menyerang sistem daya tahan badan*, menyebabkan badan lemah dan tidak berupaya melawan jangkitan penyakit. Jika seseorang disahkan dijangkiti HIV, orang itu dipanggil positif-HIV (HIV+) tetapi tidak semestinya dia menghadapi AIDS. * Sistem daya tahan badan adalah mekanisma badan yang terdiri daripada sel darah putih. Sel-sel ini menyerang dan membunuh kuman dan virus yang masuk ke dalam badan kita. Acquired Immune Deficiency Syndrome (AIDS) AIDS adalah nama yang diberi kepada sekumpulan penyakit yang menjangkiti orang yang HIV+. Ia berlaku apabila sistem daya tahan badan orang tersebut menjadi semakin lemah dan tidak berupaya melawan penyakit. Bagaimanakah HIV boleh dijangkiti? HIV hanya boleh dijangkiti melalui cara-cara berikut sahaja: 1.melalui perhubungan seks tidak selamat (seks tidak selamat adalah seks tanpa menggunakan kondom lateks). 2.melalui perkongsian jarum suntikan atau picagari. 3.melalui ibu kepada bayinya semasa kehamilan, kelahiran atau penyusuan. HIV hanya boleh berjangkit melalui darah, air mazi dan air mani termasuk darah haid. Darah atau cecair-cecair badan boleh memasuki salur darah orang lain melalui luka, kesan lecetan atau kudis. Mereka yang menjaga pesakit-pesakit AIDS dan yang memberi pertolongan cemas patut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan sarung tangan getah semasa melakukan tugas. Bagaimanakah HIV tidak boleh dijangkiti? HIV tidak boleh berjangkit melalui air peluh, air kencing atau air mata. HIV tidak boleh berjangkit menerusi kulit yang sihat ataupun melalui udara seperti virus selesema. HIV tidak boleh hidup di luar badan manusia seperti di atas kulit atau pakaian, dalam air atau udara. HIV tidak boleh dijangkiti melalui ■Pendermaan darah ■Berjabat tangan dan berpelukan ■Berkongsi telefon, kolam renang dan tandas awam ■Berkongsi makanan dan perkakas dapur ■Berkongsi tempat tinggal, bekerja bersama, belajar bersama atau berkongsi tempat tidur ■Bersin, batuk, air peluh atau air kencing ■Gigitan serangga (termasuk gigitan nyamuk) atau binatang ■Menjaga seseorang yang positif-HIV Bagaimanakah caranya untuk mengetahui samada saya telah dijangkiti? Satu-satunya cara untuk mengetahui samada anda telah dijangkiti adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV Apakah tanda-tanda atau simptom-simptom jangkitan HIV? Permulaan jangkitan HIV biasanya tidak menunjukkan sebarang tanda. Ada jangkitan yang akan menunjukkan simptom yang menyerupai demam selesema tiga sehingga enam minggu selepas jangkitan. tetapi ini berlainan dari seseorang ke seseorang yang lain; orang itu mungkin sembuh dan berkeadaan sihat selama beberapa tahun sehinggalah sistem daya tahan badannya menjadi lemah dan orang tersebut jatuh sakit disebabkan jangkitan penyakit yang berulang-kali. Tanda awal yang serupa juga berlaku semasa jangkitan virus lain. Oleh kerana tanda-tanda ini hilang dengan mudahnya, ramai yang tidak mengendahkannya dan mengaggapnya sebagai penyakit biasa. Jadi, satu-satunya cara untuk mendapat kepastian adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV terutamanya jika anda rasa anda telah melakukan aktiviti yang berisiko. SEKS SELAMAT Apakah seks selamat? Seks selamat adalah hubungan seks di mana air mazi, air mani atau darah tidak masuk ke dalam badan orang lain. ■Seks selamat adalah hubungan seks menggunakan kondom lateks dan pelincir berasaskan air seperti gel K-Y. ■Seks selamat adalah perlakuan seks seperti bersentuhan atau melancap dimana kedua-dua pihak tidak mempunyai luka atau ruam pada tangan mereka. Cara-cara ini dipanggil “seks selamat” kerana ianya meminimumkan risiko jangkitan, tetapi tidak menghapuskan jangkitan sama sekali. Aktiviti seksual akan sentiasa mempunyai risiko terutama jika salah seorang pasangan adalah positif-HIV. Seks selamat juga boleh mencegah jangkitan penyakit kelamin yang boleh meninggikan risiko jangkitan HIV. Penyakit-penyakit kelamin memudahkan HIV menjangkiti sel-sel badan.LAILATUL SYAMIMI

KERACUNAN MAKANAN

Kita sering mendengar cerita dan terbaca kisah yang berkaitan dengan keracunan makanan. Selain itu, berdasarkan pengalaman sendiri, mungkin banyak daripada kita yang mengalami keracunan makanan. Semenjak Januari hingga Ogos tahun lalu, terdapat sebanyak 13 kes keracunan makanan yang melibatkan 801 orang yang telah dilaporkan kepada pihak berkuasa. Daripada jumlah tersebut, 601 orang mangsa ialah pelajar sekolah. Sewajarnya, masalah ini dipandang serius lebih-lebih lagi dari segi perundangan, Negara ini mempunyai Akta Makanan 1983 yang bertujuan untuk melindungi orang ramai daripada bahaya penipuan dalam penyediaan, penjualan, dan penggunaan makanan. Kebiasaannya, keracunan makanan berlaku dalam tempoh 48 jam setelah seseorang itu memakan makanan yang tercemar. Tanda-tandanya termasuklah rasa mual, muntah, cirit-birit, pening-pening serta gangguan perut. Kebanyakan kes keracunan makanan disebabkan oleh bacteria, mikro organisma, virus, racun atau toksin, dan bahan-bahan kimia. Selain elemen di atas, keracunan makanan juga melibatkan kewujudan bacteria dalam makanan dan proses penyediaan makanan yang kotor serta tidak dimasak dengan sempurna. Oleh sebab itu, penyedia makanan hendaklah membasuh tangan dengan teliti sebelum atau selepas mengendalikan makanan bagi mengelakkan pencemaran bakteria salmonella atau bakteria lain. Selain itu, peralatan dapur seperti alat pemotong perlu dibasuh dengan air panas terutama sekali alas pemotong daging. Dalam penyediaan makanan, pengendalian yang tidak teliti akan menggalakkan bakteria mencemari makanan.Dalam hal ini, beberapa contoh kecuaian yang dikenal pasti termasuklah penyimpanan daging, ayam, dan ikan di tempat yang tidak cukup dingin, dan makanan beku yang dibiarkan cair pada suasana panas yang terlalu lama. Pencemaran bacteria berlaku juga pada buah-buahan serta sayur-sayuran yang tidak dicuci dengan baik. Tanda-tanda khusus kerancunan makanan bergantung pada jenis bacteria atau organismanya. Antara contohnya termasuklah cholera yang disebabkan oleh bacteria vibro cholera yang terdapat pada ikan, kerang, kupang, dan siput yang tercemar. Selain elemen yang dinyatakan di atas, keracunan makanan ada kalanya berkaitan dengan cendawan beracun atau buah-buahan dan sayur-sayuran yang dicemari oleh racun serangga yang tinggi kadar kepekatannya. Apabila mengambil makanan yang terdiri daripada bijiran, seseorang itu tidak boleh mengambil mudah tentang makanan yang dimakannya. Dalam banyak kes, toksin daripada kulat, iaitu aflatoksin yang terdapat pada bijiran juga merupakan salah satu punca keracunan makanan. Sehubungan dengan itu, sekalipun kebanyakan makanan selamat dimakan, namun seseorang itu hendaklah berhati-hati semasa mengambil makanan agar mereka tidak menjadi mangsa keracunan makanan samada secara sengaja ataupun tidak.LAILATUL SYAMIMI

PENGAMBILAN GULA

Masyarakat moden dewasa ini secara amnya mempunyai tabiat sukakan gula. Mereka sukakan rasa gula yang manis dan menyelerakan. Sesetengah antara mereka pula berpendapat bahawa gula memberikan tenaga secara semulajadi dalam badan kita. Makanan bergula yang kita makan seharian terdiri daripada dua kategori iaitu pelepasan gula secara pantas dan juga pelepasan gula secara perlahan. Buah-buahan manis seperti tembikai, limau mandarin, dan manggis serta glukos, gula putih dan gula pasir merupakan makanan yang mempunyai kategori gula yang dilepaskan secara pantas. Selain makanan yang disebutkan sebelum ini, makanan yang berkeadaan ceruh dan sudah diproses seperti kek, roti canai dan nasi juga turut dikategorikan sebagai makanan yang melepaskan gula secara pantas. Makanan yang telah diproses mengandungi sangat kurang fiber tak larut dan lemak-lemak perlu daripada selaput bijirin yang boleh melambatkan pelepasan gula. Makanan bergula berpotensi menghasilkan ketagihan terutamanya apabila seseorang individu tersebut mengalami tekanan darah rendah. Keadaan ini biasa berlaku antara dua masa makan iaitu antara sarapan pagi dan makan tengahhari, antara makan tengah hari dan makan malam dan selepas makan malam sehingga waktu pagi sebelum sarapan. Memakan makanan bergula menyebabkan paras glukos dalam darah naik dengan pantas dan kemudian turun dengan pantas. Paras glukos turun jauh di bawahparas normal dan ketika inilah seseorang individu akan mengalami lesu, tidak boleh menumpukan perhatian dan berasa loya, sakit kepala dan teringin makan sesuatu yang manis dan bergula. Tekanan darah rendah akan memburukkan lagi keadaan seseorang yang mengalami kemurungan. Memakan makanan berserat tak larut juga menjadikan paras glukos naik dengan kadar perlahan dan tidak setinggi paras berpunca daripada makanan bergula dan diproses, kemudian jatuh perlahan-lahan dan mencapai paras glukos darah normal. Oleh itu, adalah tindakan yang sangat wajar sekiranya kita mengamalkan amalan kesederhanaan dalam apa jua yang kita lakukan termasuklah dari segi pemakanan seharian kita.LAILATUL SYAMIMI

SIKAP MENENTUKAN KEJAYAAN

Lebih kurang 30 tahun yang lalu, iaitu 1974, masyarakat melayu telah gempar dengan lahirnya seorang anak melayu yang telah mampu membaca akhbar pada usia tiga tahun. Hampir kesemua media membuat liputan. Hari ini, perkara sebegini bukanlah sesuatu yang mengkagumkan. Dengan adanya pelbagai kemudahan dan teknologi multimedia, ramai anak-anak yang boleh membaca pada usia sebegini. Tetapi pada 30 tahun yang lalu, diawal 70an pastilah kebolehan seperti ini dikira sebagai menakjubkan. Lebih-lebih lagi anak melayu ini hanya anak orang kampung dan tinggal di luar bandar. Prof. Diraja Ungku Aziz pernah membawa anak ini balik ke tempatnya untuk diberikan ujian IQ. Pengarah Filem Dato’ Jins Shamsudin pula menjadikannya pelakun kecil. Begitulah hebatnya anak yang bernama Mohd. Sohkeri Hadapi Aziz ini. Melihat kepada kebolehan dan kehebatan anak maka tidak hairanlah kalau hari ini beliau menjadi doktor atau pensyarah muda. Tanggal 22 November 1997 masyarakat melayu sekali lagi digemparkan. Kali ini oleh peristiwa seorang anak muda yang bekerja sebagai pembuat roti canai telah didakwa kerana memiliki enam paket kecil ganja. Beliau telah didakwa dibawah Seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1983) dan dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan. Apa kaitannya antara dua cerita yang dinyatakan di sini? Kaitannya ialah inilah orangnya yang menjadi tajuk perbualan 30 tahun yang silam. Inilah dia Mohd. Sohkeri yang pernah dibanggakan dulunya. Beliau jauh sekali dari dikatakan berjaya. Malah apa yang beliau lakukan hari ini langsung tidak menggambarkan kebolehan sewaktu kecil beliau. Rendahkah IQ lelaki ini? Tidak sama sekali. Tidak berkebolehankah lelaki ini? Jauh sama sekali. Silapnya ialah kerana ia tidak pernah terdedah kepada ilmu kecemerlangan diri dan pembentukan sikap pula tidak menguntungkan diri serta masa depannya. Saya yakin, kalau perkara seperti ini boleh berlaku kepada seorang individu, ia juga telah berlaku, sedang berlaku dan akan terus berlaku kepada ramai lagi manusia lain. Berapa ramai lagi agaknya yang senasib beliau. Kita hanya mendengar cerita Mohd. Sohkeri. Bagaimana pula dengan begitu ramai yang mungkin waktu kecilnya cemerlang kini tidak mampu meneruskan kecemerlangan ini. Saya sendiri telah menemui begitu ramai pelajar yang mendapat 5A dalam UPSR, atau 8A dalam PMR, akhirnya kecundang dalam SPM. Persoalannya adakah mereka yang gagal dalam kehidupan hari ini selayaknya gagal? Atau mereka tidak tahu yang sebenarnya dalam diri mereka ada sebutir permata yang tinggi nilainya dan belum digilap. Inilah yang dikatakan sikap. Tidak ada ertinya IQ yang tinggi serta kebolehan yang luarbiasa tetapi malas berusaha, tangguh kerja, main-main dan ambil mudah. Mereka ini berpenyakit tetapi tidak menyedarinya. Kalau AIDS dan JE boleh membunuh diri, penyakit sikap ini pula boleh membunuh harapan dan masa depan. Sikap adalah sesuatu yang dipelajari melalui pengamatan, pendengaran dan pengalaman. Dengan kata lain, sikap adalah tindakan dan tingkahlaku diri berlandaskan cara fikir seseorang individu. Dua orang yang mempunyai cara fikir yang berbeza akan bertindakbalas secara berbeza juga terhadap sesuatu peristiwa atau persekitaran. Cara fikir mengubah tingkah laku seseorang dan mempengaruhi sikap seseorang. Cara fikir sebenarnya sesuatu yang dipelajari dan ditiru melalui sumber-sumber seperti: • Orang sekeliling – Ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan, idola • Pengaruh media – TV, radio, internet • Bahan bacaan – novel, majalah, akhbar, buku-buku. • Persekitaran – Agama, bangsa, kebudayaan • Peristiwa silam – besar atau kecil • Pengalaman Sebab itulah ada pepatah yang mengatakan bapa borek anak rintek. Kalau bapa jenis panas baran maka anaknya berkemungkinan juga demikian. Tetapi tidak pula semua anak berkelakuan serupa seperti bapa. Mungkin anak yang lain pula cukup mengkagumi gurunya dan kebetulan pula guru seorang yang penyabar maka sikap sabar ini mempengaruhi anak. Maka sikap panas baran bapa tidak ditiru oleh anak ini kerana dia dapat menilai bahawa sikap itu tidak menguntungkan sesiapa. Sebaliknya, pengaruh guru lebih besar atas diri anak ini dalam dalam pembentukan sikapnya. Jadi seorang anak membesar dengan meniru tingkah laku orang lain. Sikap-sikap negatifnya mungkin diperolehi daripada gabungan pelbagai sumber. Pemarah macam ayah, boros macam emak, malas macam abang, pakaian macam artis, buang masa macam rakan-rakan dan sebagainya. Begitu juga dengan sikap positifnya juga ditiru dari orang lain. Berani macam ayah, bercakap benar macam emak, suka mencuba macam abang, gigih macam artis pujaan dan hormat ibu bapa macam rakan. Satu kelemahan otak ialah ia menerima segala maklumat yang dilihat, dirasa dan didengar ini, tanpa sekatan sama ada positif atau negatif. Apabila mesej yang sama diterima berulang-ulangkali maka sedikit sebanyak mula terbentuk kepercayaan dalam diri bahawa tidak salah untuk menerima pakai atau meniru cara orang lain ini. Keadaan ini berlaku diluar kesedaran seseorang. Ia berlaku dalam tempoh masa yang panjang sebelum menjadi lazim dalam pemikiran. Setelah ia menjadi kebiasaan segala tindak balas kita menjadi spontan dan kerap kali tindakan kita diluar kawalan diri.LAILATUL SYAMIMI

PUNCA KAHWIN LARI

Kes yang melibatkan trend kahwin lari dalam kalangan wanita muda tempatan dengan warga asing semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Mereka sanggu meredah Laut China Selatan semata-mata untuk membuktikan cinta sejati kepada pasangan tanpa memikirkan kesan yang bakal dihadapi pada kemudian hari. Statistik kes Orang Hilang dan Jumpa Seluruh Malaysia yang dikeluarkan oleh PDRM menunjukkan bahawa pada tahun 2007 ( Januari hingga April ), sebanyak 681 orang wanita muda tempatan disahkan hilang. Daripada jumlahitu, hanya 302 orang berjaya ditemui semula. Kebanyakan wanita muda tempatan yang terjebak dalam kes kahwin lari dengan warga asing ini dipengaruhi oleh pujuk rayu pasangannya. Bagi wanita muda yang mengalami masalah kepincangan keluarga dan dahagakan kasih sayang, mereka mudah terpengaruh dengan pujuk rayu pasangan mereka. Selain itu, sikap wanita muda tempatan yang cenderung mencari ‘kelainan’ dalam memilih pasangan hidup turut menjadi punca mereka terjebak dengankes kahwin lari ini. Kebanyakan mereka ini berasa bangga dengan rakan-rakan jika dapat memikat hati pasangan warga asing terutama dari Pakistan,Afrika, atau Indonesia. Di samping itu, punca berlakunya kes ini juga disebabkan oleh sikap wanita muda yang berasa bahawa mereka mempunyai hak untuk menentukan hala tuju hidup mereka sendiri. Nasihat ibu bapa, rakan-rakan, mahupun guru tidak diendahkan. Apa yang lebih penting, mereka sudah menemui kekasih hati yang sanggup menghulurkan cinta dan menjadi tempat untuk mereka mengadu. Hakikatnya, niat kedatangan warga asing ke Negara ini diibaratkan seperti serampang dua mata. Selain mencari rezeki, mereka juga ingin mendapatkan status Penduduk Tetap (PR). Seperti yang tertakluk dalam prosedur memiliki status PR, seseorang warga asing layak mendapat status PR jika mereka mengahwini gadis tempatan. Jadi, akhirnya banyak wanita muda tempatan yang menjadi mangsa. Kerajaan dan rakyat sedang giat berganding bahu bagi membanteras masalah ini. Paling penting, maklumat awal dan kempen kesedaran dari semasa ke semasa wajar diberikan kepada wanita muda tempatan berkaitan isu ini. Manakala ibu bapa pula seharusnya lebih sensitif dan peka terhadap perihal anak-anak. Komunikasi yang berkesan dan pemupukan kasih sayang antara ahli keluarga secara tidak langsung dapat membantu menangani masalah sosial anak-anak. Sementara itu, wanita muda sendiri perlulah mempunyai kesedaran diri dan memikirkan kesan negatif yang bakal ditanggung oleh mereka dalam melakukan sesuatu perkara.LAILATUL SYAMIMI

TINDAKAN LARI DARI RUMAH

Terima kasih saudara Pengerusi Majlis, Yang Mulia Tuan Pengetua, Penolong Kanan, guru-guru, serta para pelajar yang dihormati sekalian. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah kerana sudi mengundang saya untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Tindakan Lari dari Rumah Bukanlah Tindakan Terbaik”. Para hadirin sekalian, Sejak kebelakangan ini, banyak kes remaja lari dari rumah dilaporkan. Saban hari, pelbagai berita mengenai isu ini dipaparkan melalui media cetak mahupun elektronik. Gejala ini kerap berlaku dalam kalangan remaja pada peringkat umur belasan tahun. Golongan ini kerap bertindak mengikut kata hati tanpa memikirkan impak yang bakal diterima berikutan tindakan mereka itu. Terdapat pelbagai faktor yang mendorong remaja lari dari rumah. Salah satu faktor yang mendorong remaja lari dari rumah adalah kurangnya didikan agama yang diberikan oleh ibu bapa mereka. Hal ini menyebabkan mereka mudah bertindak tanpa berfikir. Kelalaian ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka menyebabkan remaja mudah hilang kawalan diri apabila berhadapan dengan sesuatu masalah. Justeru, mereka meninggalkan rumah untuk lari daripada maslaah yang mereka hadapi. Hadirin hadirat yang dihormati sekalian, Tindakan lari dari rumah bukanlah tindakan yang terbaik. Banyak masalah lain yang akan timbul sekiranya kita mengambil tindakan sebegini. Remaja yang lari dari rumah mudah terdedah dengan gejala negative seperti penagihan dadah, lumba haram, mencuri dan sebagainya. Sekiranya para remaja menghadapi masalah, mereka perlulah berbincang dengan keluarga atau berjumpa dengan guru kaunseling bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi dan bukannya mengambil keputusan untuk lari dari rumah. Tegasnya, tindakan lari dari rumah bukanlah tindakan yang terbaik sebaliknya akan memberikan kesan yang lebih buruk lagi. Setiap tindakan yang bakal diambil haruslah difikirkan kesan baik buruknya tindakan tersebut terlebih dahulu. Akhir sekali, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara dan saudari yang sudi mendengar ceramah saya pada hari ini. Sekian, terima kasih. LAILATUL SYAMIMI

IMPAK IMPAK NEGATIF

Sektor perindustrian merujuk kepada sektor kilang yang menghasilkan pelbagai produk yang berguna buat manusia seperti penghasilan kereta dan makanan. Negara kita memang telah menggunakan sektor ini sebagai satu tindakan untuk meningkatkan tahap ekonomi penduduk negara menjadi setanding dengan negara-negara lain terutama di sebelah rantau Asia. Kejayaan sektor perindustrian di negara ini juga sering menjadi bahan berita dalam media massa tempatan dan asing terutama sekitar tahun 80-an dan 90-an. Cuma, sejak akhir-akhir ini pelbagai komentar tentang impak negatif sektor ini mula mendapat tempat dalam perbincangan masyarakat setempat. Impak yang paling ketara yang ditimbulkan oleh sektor perindustrian ialah kemusnahan kawasan hutan negara kita yang terkenal dengan flora dan fauna yang tersendiri. Dalam usaha untuk membentuk satu kawasan perindustrian yang luas dan efisien serta berdaya saing, satu kawasan baru yang luas harus dibuka yang biasanya melibatkan penerokaan kawasan hutan negara. Penebangan kawasan hutan negara ini dikatakan telah memusnahkan habitat hidupan liar negara yang suatu masa dahulu menjadi kebanggan negara kita pula seperti harimau dan gajah serta badak sumbu Sumatera. Oleh itu, kewujudan sektor perindustrian telah membawa kemusnahan kawasan hutan negara yang luas dan sukar untuk dipulihkan semula. Lantaran itu, kadar pencemaran alam turut meningkat kerana sektor perindustrian dikatakan sering menghasilkan sisa-sisa toksik yang tidak dibuang secara sistematik atau dengan baik. Kebanyakan bahan buangan sektor ini dialirkan begitu sahaja tanpa dilakukan sebarang rawatan yang sesuai untuk memastikan sungai dan udara negara tidak tercemar dengan mudah. Masalah ini diburukkan lagi dengan ketiadaan kawasan hijau negara yang sudah pun semakin berkurangan dengan pembukaan kawasan-kawasan kilang yang besar. Sesungguhnya, kadar pencemaran alam menjadi begitu serius dengan bertambahnya kawasan sektor perindustrian kerana sektor ini mempunyai pembuangan sisa-sisa kimia yang berbahaya. Bukan sahaja alam tercemar dan hutan negara hilang begitu sahaja tetapi kewujudan sektor perindustrian telah mengoyahkan sistem kekeluargaan di negara ini dengan begitu ketara. Banyak ibu bapa yang bekerja dengan sektor perindustrian terpaksa mengikut waktu kerja yang agak ganjil iaitu ada kalanya mereka terpaksa bekerja malam dan kerja lebih masa yang menyebabkan tumpuan mereka terhadap keluarga menjadi semakin kurang. Kekerapan mereka bekerja juga menjadikan diri mereka lebih tidak berupaya untuk mendidik anak dengan baik yang membawa peningkatan masalah sosial terutama di kawasan bandar yang banyak memiliki kilang-kilang moden. Jelaslah, sektor ini bukan sahaja memusnahkan alam tetapi turut menjadikan kehidupan sosial masyarakat menjadi porak-peranda dalam tempoh yang singkat. Impak yang lain yang turut ditimbulkan oleh sektor ini ialah terpinggirnya sektor pertanian di negara ini. Dahulu sebelum pengenalan sektor perindustrian, kebanyakan penduduk negara ini terlibat dalam sektor pertanian dengan begitu meluas. Kini, sektor pertanian semakin terpinggir kerana kadar upah dan cara kehidupan di ladang yang dikatakan tidak lagi menepati kehendak zaman yang membawa ramai tenaga kerja beralih bekerja di sektor perindustrian pula yang mendorong negara terpaksa menggunakan pekerja asing untuk bekerja di sektor peladangan. Maka, sektor perindustrian turut memusnahkan sektor pertanian negara yang dahulunya menjadi kebanggaan kita semua. Sebagai kesimpulan, sektor prindustrian membawa banyak impak negatif kepada negara dalam jangka masa panjang. Semua pihak harus menilai semula penekanan terhadap sektor ini dengan memikirkan kaedah-kaedah lain untuk memajukan negara kerana kita tidak mahu menjadi sebuah negara moden tetapi kehilangan budaya dan khazanah negara pula dalam masa yang sama. Keseimbangan harus dicari dalam usaha untuk menangani kemelut ini kerana faktor itulah yang bakal akan membawa negara kita terus mampu untuk bersaing dalam arena global kini. Mungkinkah kita harus mengetatkan syarat-syarat penubuhan kilang-kilang baru di negara ini?LAILATUL SYAMIMI

FAKTOR KEMALANGAN JALAN RAYA

Salah laku jalan raya Salah laku jalan raya bermaksud tindak tanduk pengguna jalan raya yang salah, dan mungkin membawa kepada kemalangan jalan raya. Dalam konteks etika salah laku jalan raya biasanya berkait dengan sikap pengguna jalan raya dan bukan kemahiran pengguna jalan raya itu sendiri. Salah laku jalan raya merupakan sesuatu yang mengancam keselamatan jalan raya. Terdapat kajian yang mengatakan bahawa faktor manusia merupakan faktor tunggal dalam 57% daripada kemalangan jalan raya. Daripda itu, masalah ini haruslah diberi perhatian daripada pelbagai pihak. Kecuaian memandu Kecuaian memandu bermaksud kelalaian atau ketidakberhati-hatian yang dilakukan semasa memandu. Perkara ini merupakan satu salah laku kerana perlakuan ini boleh menyebabkan kecelakaan kepada diri pemandu itu sendiri dan juga kepada pengguna jalan raya yang lain. Maka dari etika teleologi, perlakuan ini menepati kriteria sebagai satu kesalahan kerana ia membawa kepada lebih keburukkan daripada kebaikan Kecuaian memandu secara kasarnya berlaku daripada tiga punca, iaitu: * Tekanan jiwa * Memandu sambil buat kerja lain * Kemabukan Tekanan jiwa boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja memandu. Dalam keadaan ini, minda si pemandu itu mungkin dipenuhi oleh pemikiran mengenai masalah yang menrunsingkan sehinggakan si pemandu itu tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja memandu. Maka dengan itu, kemalangan jalan raya mungkin akan berlaku. Contohnya, seorang pemandu yang sedang runsing fikirannya mungkin tidak sedar bahawa kerata depannya sudah berhenti dan terus langgar. Di sini mungkin ada yang mengatakan bahawa orang yang mencetuskan kemalangan jalan raya atas sebab tekanan jiwa, seharusnya tidak perlu menanggung tanggungjawab moral, kerana ini kemalangan tidak berlaku atas niat pemandu itu sendiri. Pekara ini mungkin benar dari segi etika deontologi Kant. Tetapi dari sudut yang lain, si pemandu masih boleh dianggap bersalah kerana membiarkan dirinya memandu dalam keadaan tertekan dan berbahaya sehinggalah menyebabkan berlakunya kecelakaan. Di sini menunjukkan masih terdapat ruang untuk si pemandu untuk berusaha bagi mengelakkan berlakunya kemalangan. Malah, dalam kursus memandu itu sendiri telah dimaklumi bahawa harus mengelakkan memandu dalam keadaan tekanan jiwa. Memandu sambil buat kerja lain merupakan satu bentuk kecuaian memandu. Kerja-kerja yang biasanya dibuat bersambil memandu termasuklah bersembang, makan, merokok, mendengar radio, membaca SMS, malah menulis SMS. Perlakuan ini adalah sangat bahaya terutama bagi perlakuan membaca dan menghantar SMS semasa memandu. Kerja-kerja di atas walaupun tidak memerlukan banyak penumpuan tetapi ini tidak bermaksud ia boleh dilakukan semasa memandu kerana ia sedikit sebanyak akan menjejaskan tumpuan pemandu. Memandu sebenar penuh dengan pekara luar dugaan. Contohnya, anda mungkin tidak dapat menduga bahawa terdapat sebuah kereta keluar daripada lorong tepi sehingga menghalang laluan anda. Sekiranya pekara ini berlaku semasa anda membaca SMS, maka kemungkinan besar anda akan terus langgar kereta itu. Alasan yang biasanya diberikan oleh pemandu untuk memandu sambil buat kerja lain termasuklah terlalu bosan, kesuntukkan masa dan kecemasan. Walaupun alasan-alasan ini mempunyai lojiknya sendiri tetapi perlakuan mereka ini tetap menyalahi prinsip moral. Pemberian alasan sedemikian sebenarnya menunjukkan bahawa terdapat masalah hirarki nilai dalam diri mereka. Dalam konteks ini, pemandu-pemandu tersebut tidak meletakkan nilai keselamatan di atas nilai-nilai yang lain. Contohnya bagi mereka yang memberi alasan “kesuntukkan masa” bagi memandu sambil bercakap telefon sebenarnya telah meletakkan nilai ekonomi di atas nilai keselamtan. Memandu dalam keadaan mabuk nyata satu kecuaian yang besar. Lebih-lebih lagi perlakuan ini adalah salah dari segi undang-undang. Perlakuan ini adalah sangat bahaya kerana orang yang mabuk tidak berakal malah tidak sedar diri. Pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk sebenarnya adalah salah dari segi moral kerana bersikap tidak bertanggungjawab. Di sini tiada banyak pertikaian mengenai tanggungjawab moral yang ditanggung oleh pemandu mabuk kerana ternyata mereka adalah salah. [sunting] Memandu secara terburu-buru Memandu secara terburu-buru bermaksud memandu dalam gaya yang cepat dan bergegas-gegas. Pekara ini boleh ditafsir sebagai satu kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu “memandu secara melulu dan berbahaya hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain” dan boleh dihukum penjara hingga lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya. Pemandu yang suka akan akan gaya memandu sedemikian biasanya menghadapi masalah dalam keperibadian diri mereka. Keperibadian mereka sebenarnya telah tercemar oleh sikap buruk seperti di bawah: * Menunjuk-nunjuk * Kecetekan melayan nafsu sensasi * Tidak menghargai nyawa Semua pemandu yang memandu secara terburu-buru sebenarnya sedikit sebanyak mempunyai sikap menunjuk-nunjuk ini. Mereka adalah terlalu kagum dengan kemahiran memandu mereka sehinggakan tidak tertunggu-tunggu untuk diperlihatkan oleh orang ramai. Sikap ini terserlah juga dari segi kebiasaan mereka memasang muzik yang kuat semasa memandu serta kegemaran mereka mengubahsuai kereta kepada bentuk yang mongel. Perlakuan mereka seperti ini menunjukkan mereka tidak ternanti-nanti untuk meminta perhatian ramai. Sikap menunjuk-nunjuk ini sebenarnya merupakan satu sifat kejahatan (vice). Ia sangat berkaitan dengan sifat-sifat keji seperti bongkak, sombong, angkuh dan pongah. Malah ia adalah sangat berlawanan dengan sikap kesopanan yang biasanya didukung oleh masyarakat timur seperti Malaysia. Cara memandu yang terburu-buru boleh mendatangkan keseronokkan dari segi sensasi. Adalah sukar menerangkan mengapa manusia itu menikmati kelajuan kenderaan. Tetapi agaknya “rasa kegentingan” itu satu kenikmatan bagi mereka yang memandu secara terburu-buru. Pekara ini perlu diselidik dengan lebih mendalam lagi secara psikologi. Oleh itu, kertas kerja ini tidak akan menerangkan pekara ini secara lebih mendalam. Pemandu-pemandu yang memandu secara terburu-buru sedikit sebanyak bertujuan untuk menikmati kelajuan. Pekara ini menunjukkan peribadi mereka mengahadapi kecetakkan dari segi melayan nafsu sensasi. Peribadi mereka dikatakan cetek kerana mereka mengejar keseronokan yang merupakan sensasi fizikal, selera kasar, tidak berpanjangan malahan dapat memudaratkan nyawa diri mereka serta pengguna jalan raya yang lain. Maka dari segi ini kita boleh mengatakkan bahawa sikap dan perlakuan mereka adalah tidak bermoral. Sikap tidak menghargai nyawa merupakan satu lagi sikap yang ditunjukkan oleh pemandu yang memandu secara terburu-buru. Walaupun tindakan mereka itu bukan bertujuan untuk membunuh orang, tetapi tindakan mereka itu tidak mempunyai sebarang nilai keselamatan. Dengan kata lain mereka tidak berniat membunuh tetapi pada masa yang sama juga tidak berniat untuk menyelamatkan nyawa. Mereka telah membiarkan nyawa manusia bergoyang-goyang antara hidup dan mati. Layanan mereka terhadap nyawa manusia secara demikian ternyata salah kerana nyawa manusia merupakan sesuatu yang harus dihargai dan dilindungi. Maka dari sudut ini, dapat dikatakan bahawa memandu secara terburu-buru merupakan satu salah laku dari segi etika. [sunting] Keganasan jalan raya Keganasan jalan raya merujuk kepada kegiatan mencederakan orang lain malah membunuh orang lain secara segaja dan sedar yang berlaku di antara pengguna jalan raya atas perselisihan yang berkaitan dengan masalah pengangkutan. Biasanya pemangsa dalam kes keganasan jalan raya dikenali sebagai samseng jalan. Pekara ini merupakan satu jenayah yang berat dan boleh membawa hukuman penjara, sebat malah hukuman bunuh.Contoh-contoh bagi kes keganasan jalan raya sejak 3 tahun lalu yang berlaku di Malaysia adalah seperti berikut: * Pada 8 April 2003 di Puchong seorang pemuda telah dibelasah kerana pihak berkenaan tidak puas hati akan tindakannya memotong kereta. * Pada 9 April 2003 di Gelang Patah, seorang pemuda telah diserang orang dengan pisau seni lukis kerana beliau nyaris terlanggar orang yang berkenaan. Untuk itu beliau telah mengalami kecederaan di bahagian lengan dan telah menerima rawatan jahitan luka sebanyak 100 jahitan. * Pada 25 Januari 2005, seorang AJK pemuda UMNO telah dibunuh oleh samseng jalan * Pada 13 Februari 2005, seorang pemuda dari Balakong nyaris membunuh orang kerana ia menyerang orang dengan penukul besi. * Pada 25 Februari 2005, seorang jurutera MAS telah diparang mati oleh seorang samseng jalan yang membawa kereta mewah. Contoh-contoh di atas menunjukkan bahawa keganasan jalan raya sememangnya lumrah di negara Malaysia. Punca berlakunya keganasan jalan raya yang dapat dikesan sepanjang kajian ini adalah seperti berikut: * Tekanan jiwa * Kesedaran perlindungan diri yang melulu Menurut Pengerusi Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Univeristi Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Aminuddin Mohd Yusof, tekanan akibat kesesakan jalan raya di bandar besar menjadi faktor penting yang melahirkan pembuli. Katanya, Kesesakan jalan raya menyebabkan pemandu menjadi tidak sabar, cepat marah, agresif dan tidak dapat mengawal perasaan apabila berlaku perkara tidak diingini walupun berpunca dari kemalangan kecil. Pendapat beliau ini disokong dengan fakta bahawa bahawa pada tahun 1995, terdapat 171 kes pembuli jalan raya yang dilaporkan kepada polis di Kuala Lumpur. Walau bagaimanpun, pendapat mengenai tekanan jiwa itu sebagi punca utama berlakunya keganasan jalan raya tidak pula dipersetujui oleh pakar Psikologi Kejenayahan, Encik Lok Jian Sin 骆建兴. Menurut beliau, tekanan jiwa seperti tekanan jiwa daripada perkerjaan dan kesesakkan jalan raya tidaklah merupakan punca berlakunya keganasan jalan raya. Sebaliknya beliau mengatakan bahawa kesedaran perlindungan diri yang melulu adalah punca utama berlakunya keganasan jalan raya. Dalam keadaan ini, orang bandar selalunya terlalu menjaga ruangan perlindungan (defensible space) sehingga ia terlalu sensitif akan sesiapa yang menembusinya. Maka pemandu-pemandu itu akan senang bereaksi ganas kerana terlalu ingin untuk melindungi diri. Selain itu keganasan jalan raya itu juga sangat berkaitan dengan sifat kejantanan dan sikap tunjuk kuasa yang ada pada kaum lelaki. Maka di sini kita boleh buat satu kesimpulan bahawa masalah keganasan jalan raya sebenarnya melibatkan masalah kebatinan yang agak rumit dan ini bukan satu masalah moral semata-mata.LAILATUL SYAMIMI