Click here for Myspace Layouts

Sunday, 20 May 2012

MELANGGAR DISIPLIN SEKOLAH

MELANGGAR DISIPLIN SEKOLAH Posted by Bazri Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga ( 2002 ), pelanggaran adalah perihal melanggar atau perihal menentang perbuatan dan sebagainya atau tidak mematuhi. Disiplin pula bermaksud latihan terutamanya pemikiran dan perlakuan supaya boleh mengawal diri sendiri, tatatertib atau peraturan-peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik. Konsep permasalah perlanggaran disiplin di sekolah umumnya melibatkan pelajar yang tidak mematuhi peraturan-peraturan di sekolah. Kebiasaannya perlanggaran disiplin di sekolah berlaku di dalam sekolah dan sewaktu persekolahan. Namun kemungkinan besar ia dipengaruhi dan melarat di luar kawasan dan waktu persekolahan. Disiplin pelajar yang boleh dianggap serius di peringkat sekolah rendah ialah berjudi, mencuri, melawan guru, dan sebagainya. Manakala di peringkat sekolah menengah pula adalah sama dengan peringkat sekolah rendah tetapi ada sedikit penambahan iaitu penyalahgunaan dadah, mencabul kehormatan dan bercumbuan. Kadar jenayah dan masalah sosial semakin meningkat di kalangan remaja dan pelajar sekolah bukan sahaja melibatkan ibu bapa tetapi juga memberi impak terhadap kredibiliti sekolah sebagai agen kawalan sosial yang seharusnya berperanan dalam pembentukan moral dan tingkahlaku generasi muda. Kesan Atau Akibat 1. Kesan Pada Diri Sendiri Remaja terlibat dengan pelanggaran disiplin di sekolah akan mudah terlibat dengan salah laku jenayah lain seperti mencuri motorsikal, meminum arak, ubat batuk dan sebagainya. Akibatnya remaja itu akan ditangkap dan dikenakan hukuman salah laku delinkuen. 2. Kesan Kepada Keluarga Keluarga juga pastinya akan mendapat malu daripada tingkah laku delinkuen. Maruah keluarga akan tercemar dan harapan keluarga akan musnah kerana ibu bapa telah bekerja keras untuk menghantar anak ke sekolah supaya berjaya dalam akademik. 3. Kesan Pada Institusi Sekolah Pelajar yang nakal dan melanggar peraturan sekolah akan didenda manakala yang baik dan patuh pada peraturan akan diberi ganjaran serta puji-pujian dan sebagainya. Dengan ini timbullah bentuk budaya yang dikenali sebagai budaya informal di sekolah lebih berpengaruh dalam membentuk sahsiah pelajar daripada budaya formal yang diajar oleh guru di sekolah. 4. Kesan Pada Masyarakat Perlanggaran disiplin akan menjejaskan ketenteraman masyarakat. Seterusnya lebih banyak lagi gejala sosial dan permasalahan delinkuen berlaku kepada generasi muda. Masyarakat akan hidup dalam kebimbangan, tahap keselamatan sosial menurun dan golongan remaja yang delinkuen mungkin menjadi lebih dominan di sekolah dan persekitaran sosial. Posted by Bazri FARAH ILYANA (1B2)

sukarnya mendidik pengguna jalan raya

Sukarnya mendidik pengguna jalan raya Posted on 02/10/2009 by smnilam Proses belajar memandu di Malaysia perlu diperkemas SEBANYAK 16 lagi kematian dicatatkan pada hari ke-14 Ops Sikap XX kelmarin, menjadikan jumlah korban nahas jalan raya musim perayaan kali ini meningkat kepada 238 orang. Jumlah korban kali ini adalah antara tertinggi sejak Ops Sikap diperkenalkan bagi mengurangkan kadar kematian ketika musim perayaan, lapan tahun lalu. Jumlah kematian tertinggi pernah dicatatkan dalam operasi itu ialah ketika Ops Sikap III. Pada fasa pertama Ops Sikap III bermula 29 November 2002, 280 kematian dicatatkan, manakala pada fasa kedua bermula 20 Disember tahun sama, 238 pengguna jalan raya maut. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, melahirkan rasa sedih dan kesal kerana selepas begitu banyak operasi termasuk Ops Sikap setiap tahun, ia belum dapat mengurangkan jumlah kemalangan maut di jalan raya negara ini. Beliau menyalahkan sikap pengguna jalan raya yang tidak menghormati undang-undang lalu lintas sebagai punca utama masalah itu seperti dibuktikan oleh perangkaan Ops Sikap kali ini. Katanya, semua usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, khususnya pada sepanjang musim perayaan di negara ini tidak akan mendatangkan faedah jika masyarakat, termasuk pemimpin politik tidak berubah sikap dan komited dalam menjayakan matlamat itu. Kita turut berkongsi pandangan dengan kekesalan yang diluahkan oleh Ketua Polis Negara itu. Undang-undang sudah ada dan pelbagai kempen keselamatan jalan raya dilancarkan, tetapi pemandu tetap ingkar dan lalai. Walaupun angka kematian sering kali dikaitkan dengan kadar pertambahan kenderaan di jalan raya, ia bukanlah alasan untuk kita berasa lega. Dengan ribuan nyawa terkorban kerana kemalangan setiap tahun, jalan raya di negara ini sudah bertukar sebagai perangkap maut. Bagaimanapun jalan raya tidak bersalah, malah taraf dan mutu keselamatannya sentiasa dipertingkatkan. Lebuh raya di negara ini adalah antara yang terbaik di dunia, manakala teknologi kenderaan sentiasa memberi penekanan kepada ciri-ciri keselamatan. Begitu juga dengan pelbagai undang-undang dan penguatkuasaan peraturan lalu lintas. Jadi yang bersalah bukan jalan, kenderaan atau peraturan tetapi pengguna jalan raya terutama pemandu kenderaan. Langkah kerajaan untuk memasang Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di 831 lokasi seluruh negara bagi mengesan kelajuan secara automatik, tanpa perlu meletakkan anggota polis trafik seperti diumumkan oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Solah Mat Hassan kelmarin, belum menjamin dapat mendisiplinkan pemandu di negara ini jika pengalaman sebelum ini dijadikan ukuran. Daripada meletak patung polis trafik, memasang papan tanda statistik kemalangan sehinggalah kepada pemasangan kamera, ia ternyata belum cukup untuk mendidik pemandu di negara ini mematuhi peraturan lalu lintas. Malah, saman dan denda yang lebih berat pun tidak dihiraukan oleh kebanyakan pemandu. Barangkali satu cara yang mungkin berkesan tetapi mengambil masa yang lama ialah melalui pendidikan supaya menggunakan jalan raya secara berhemah sejak di bangku sekolah rendah lagi. `Melentur buluh biarlah dari rebung`. Hanya dengan pendidikan, budaya menghargai nyawa dan menghormati undang-undang ketika menggunakan jalan raya, dapat dibentuk pada masa depan. Sehingga budaya itu wujud, pihak berkuasa boleh menimbangkan cadangan dan maklum balas pelbagai pihak bagaimana untuk menangani masalah ini. Antaranya ialah lesen pemandu tegar yang sering melanggar peraturan jalan raya khususnya menyebabkan kematian dibatalkan serta-merta terutama membabitkan pemandu pengangkutan awam seperti lori dan bas ekspres. Selain itu, tidak kurang juga menganggap proses belajar memandu dan mendapatkan lesen di negara ini, yang dianggap longgar, perlu diperkemaskan. Perbandingan boleh dibuat antara kaedah pembelajaran memandu di Malaysia dengan negara maju yang berjaya mengurangkan kadar kemalangan seperti Jepun dan United Kingdom. Seorang pembaca, Mohammad Yusmin Mat Jusoh, yang pernah tinggal lama di United Kingdom, dalam e-mel kepada penulis bersetuju kurikulum belajar memandu di negara ini tidak mencukupi dalam melahirkan pemandu berhemah. “Saya memiliki lesen memandu UK dan Malaysia. Saya dapati dari segi latihan memandu untuk ujiannya, lesen UK lebih berkualiti. Di UK, saya belajar cara untuk mengelak atau mengesan kemalangan ketika memandu tetapi tidak di Malaysia. Cara untuk mengambil posisi di bulatan juga tidak dititikberatkan. Secara jujur saya terkejut bila adik saya boleh lulus ujian memandu (di Malaysia), sedangkan dia selepas itu masih tidak cekap memandu,” katanya. Apa pun, paling penting, keprihatinan pelbagai pihak mengenai kadar kematian dicatatkan pada Ops Sikap kali ini tidak sekadar berakhir dengan tamatnya operasi itu semalam dan hanya muncul semula pada Ops Sikap musim akan datang. Hakikatnya, kadar kematian harian nasional sebanyak 18 orang dan kadar kematian harian musim perayaan 23 orang sebelum Ops Sikap dimulakan, masih tinggi berbanding jumlah kematian harian dicatatkan sepanjang dua minggu lalu. Justeru, janganlah kita hanya bersuara dan melahirkan kebimbangan sekadar menyemarakkan publisiti ketika Ops Sikap tetapi diam tanpa berbuat sesuatu untuk memperbaiki keadaan. Jika pelbagai pihak benar-benar mengambil pengajaran daripada beberapa siri awal Ops Sikap dulu, tentunya operasi itu tidak perlukan sehingga 20 siri semalam dan entah berapa lagi nanti. Sumber: Berita Harian, 2 Oktober 2009. Farah Ilyana (1B2)

Saturday, 19 May 2012

KENAIKAN HARGA MINYAK

Kenaikan harga minyak dikaitkan dengan peningkatan secara mendadak harga petroleum di pasaran dunia. Antara sebab yang membawa peningkatan ini ialah pertumbuhan ekonomi global, peperangan di negara pengeluar minyak dan juga kejadian bencana alam yang melanda sesebuah negara itu. Jadi, kenaikan harga minyak ini memang membawa banyak impaknya. Impak yang ketara ialah kos kehidupan masyarakat akan meningkat juga. Kebanyakan harga komoditi terutama makanan dan produk kilang akan meningkat selari dengan pertambahan harga barang lalu bajet bulanan masyarakat turut terjejas. Jelaslah, kos kehidupan akan menjadi bertambah tinggi sebaik sahaja harga minyak melambung. Selain itu, harga barang akan turut menjadi mahal ekoran peningkatan harga minyak ini. Pengguna terpaksa membeli barang keperluan seperti makanan, pakaian dan rumah dengan kadar harga yang jauh lebih tinggi kerana kos hidup bertambah pula. Sesungguhnya, harga barang yang tinggi menyebabkan ada pengguna yang tidak mampu untuk membelinya pula. Malah, tambang pengangkutan terutama pengangkutan awam akan berlipat kali gander pula. Syarikat pengangkutan terutama bas terpaksa meninggikan tambang kerana mereka menggunakan minyak dengan banyak untuk menjalankan operasi perniagaan mereka itu. Maka, kos pengangkutan yang tinggi ini menyebabkan ada ahli masyarakat yang tidak mampu untuk menggunakannya. Tambahan pula, kenaikan harga minyak boleh menjadikan keadaan politik negara tidak stabil. Banyak pihak akan melakukan tunjuk perasaan sebagai satu cara untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kenailkan ini. Jadi, tunjuk perasaan yang kerap itu boleh mencetuskan pelbagai keadaan yang tidak aman pula di dalam negara kita. Kesimpulannya, semua kesan negatif ini memang wujud apabila harga minyak melambung. Kerjasama semua pihak amat diperlukan terutama kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang boleh mengurangkan impak kenaikan ini. Bak kata pepatah, 'sediakan payung sebelum hujan' amat penting direnungi oleh kita semua sebelum terlewat. LAILATUL SYAMIMI

BAGAI AUR DENGAN TEBING

Peribahasa “bagai aur dengan tebing” bermaksud konsep tolong-menolong atau bantu-membantu amat penting dalam sesebuah masyarakat itu. Konsep ini semakin lama semakin hilang ketika negara menongkah arus perubahan dunia ini yang penuh cabaran. Lantaran itu, terdapat beberapa cara yang sesuai untuk merealisasikan konsep ini dalam kehidupan masyarakat kita. Langkah awal ialah satu aktiviti yang melibatkan semua pihak dalam sesebuah kawasan setempat itu harus dilaksanakan dahulu. Penglibatan semua pihak yang mendiami sesuatu kawasan itu amat penting jika konsep ini hendak dipupuk dalam jiwa mereka. Maka, aktiviti yang bersepadu yang melibatkan semua ahli masyarakat boleh mencetuskan konsep tolong-menolong ini. Selain itu, konsep peribahasa ini boleh juga dijalin menerusi kempen kesedaran yang dilaksanakan itu. Kempen yang melibatkan ceramah, pemberian brosur dan taklimat kepada masyarakat setempat akan peri pentingnya konsep ini mampu membuahkan hasil yang menguntungkan pula. Sebenarnya, kempen kesedaran ini boleh menggunakan media massa seperti televisyen untuk mencapai impak yang lebih luas. Bukan sahaja mewujudkan satu aktiviti yang melibatkan semua pihak dan mengadakan kempen tetapi pemupukan konsep ini dalam jiwa pelajar terutama di peringkat sekolah rendah amat praktikal. Kanak-kanak lebih mudah untuk menerima dan mengamalkan konsep kerjasama ini jika mereka didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang berunsur sedemikian ketika berada di sekolah. Justeru, pemupukan konsep bekerjasama ini di peringkat sekolah bakal menyaksikan berlakunya satu perubahan dalam minda masyarakat kita pada masa depan pula. Malahan, usaha mengadakan karnival atau pesta di dalam kawasan perumahan turut mampu mencetuskan perasaan saling membantu ini. Keadaan ini berupaya diwujudkan kerana semua pihak saling mengenali jiran mereka dan mengamalkan konsep kerjasama ini dengan lebih baik lagi. Sesungguhnya, kekerapan bertemu dan berinteraksi antara ahli masyarakat di pesta atau karnival memungkinkan wujudnya amalan bekerjasama ini. Kesimpulannya, konsep peribahasa ini memang boleh diamalkan di negara ini jika semua langkah di atas dilaksanakan segera. Kerjasama semua pihak terutama masyarakat amat diperlukan jika kita mahu konsep ini diamalkan dalam masyarakat. Peribahasa “berat sama dipikul ringan sama dijinjing” merupakan satu lagi peribahasa yang hampir serupa konsepnya yang membuktikan betapa amalan bekerjasama ini diutamakan oleh masyarakat kita dahulu. LAILATUL SYAMIMI

KEPENTINGAN MAKANAN SEIMBANG

Makanan seimbang ialah pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan. Manusia memerlukan makanan dan vitamin untuk pembesaran dan menjaga kesihatan. Media massa turut mempopularkan pemakanan seimbang menerusi pelbagai program dan penulisan artikel mengenai pemakanan yang sihat ini. Oleh itu, wujud pelbagai kebaikan daripada makanan seimbang ini. Kepentingan pemakanan seimbang yang utama ialah sikap ini menjadikan pembesaran manusia itu lebih sempurna daripada aspek fizikal. Tubuh badan menerima semua keperluan zat yang diperlukan untuk membina tubuh badan yang kuat daripada keperluan fizikal manusia. Keupayaan fizikal yang ketara ini menjadikan seseorang manusia itu boleh menjalankan tugasnya dengan begitu baik dan sempurna. Jelaslah, pemakanan seimbang menjadikan fizikal manusia itu lebih baik berbanding manusia lain yang kurang menjaga aspek pemakanannya. Selain itu, pemakanan yang seimbang menjadikan perkembangan mental seseorang itu terganggu pula. Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu tidak cukup cerdas atau mudah letih apabila cuba menyelesaikan sesuatu perkara yang dialami dalam kehidupan seseorang itu. Keadaan ini menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalahnya dengan lebih efektif berbanding dengan individu yang seimbang aspek pemakanannya. Jadi, pemakanan seimbang menjadikan aspek mental manusia lebih stabil dan berdaya tahan. Kemungkinan kepentingan pemakanan seimbang yang mudah difahami ialah makanan yang seimbang memberikan vitamin yang cukup kepada badan seseorang itu. Keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan tubuh manusia itu lebih tahan untuk menghadapi sebarang jangkitan penyakit atau tidak mudah untuk jatuh sakit. Kesihatan manusia dikatakan perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang itu. Sesungguhnya, manusia yang mengamalkan pemakanan seimbang akan mempunyai kesihatan yang sihat sejahtera sahaja. Malahan, pemakanan seimbang turut dikatakan mampu mengawal kadar obesiti masyarakat dunia. Salah satu aspek utama dalam pemakanan seimbang ialah manusia perlulah mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup khasiat yang diperlukan oleh badan. Pengawalan pemakanan sebegi menjadikan tubuh seseorang itu tidak terlalu gemuk dan memudahkan mereka untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti senaman yang mampu menyihatkan badan pula. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam hidupnya. Kesimpulannya, kita perlu mengambil makanan yang seimbang kerana semua kepentingannya sudah dinyatakan tadi. Bukan sahaja individu tetapi masyarakat dan seterusnya negara akan menerima kesan positif daripada pemakanan yang baik ini. Jika masyarakat masih ingkar dan tidak mahu berubah sudah pasti jumlah pesakit penyakit kronik di negara ini akan bertambah pula. Ketika itu mungkin sudah terlewat untuk kita semua mengambil langkah pencegahannya. “Tepuk dada tanya selera”. LAILATUL SYAMIMI

PENGALAMAN BERKELAH

Sebenarnya saya memang suka berkelah di tepi pantai kerana ingin mengalami perasaan ditiup angin sepo-sepoi bahasa yang sejuk nyaman itu. Jadi, apabila ayah dan ibu memberitahu bahawa mereka merancang untuk membawa saya ke pantai Port Dickson, saya berasa begitu bersemangat untuk ke sana. Hati saya begitu ceria menanti saat tersebut malah saya tidak sabar sebenarnya. Perjalanan ke sana dari Kuala Lumpur hanya mengambil masa sejam lebih sahaja. Entah sama ada perasaan gembira saya atau sebab yang lain, perjalanan ke pantai begitu pantas berlalu. Sekelip mata saya sudah berada di tepi pantai bersama-sama ayah dan ibu. Orang ramai juga sudah berkerumun di tempat-tempat strategik untuk menikmati suasana yang nyaman itu. Hati semua nampak girang belaka. Ayah dan ibu menyuruh saya membentangkan plastik besar untuk dijadikan tempat alas kami duduk berehat. Kerja itu saya dilakukan dengan penuh kepatuhan. Tangan saya memastikan tidak ada pasir pantai yang melekat di atas alas plastik itu. Kemudian, ibu meletakkan beberapa bekas makanan dan minuman manakala ayah segera membuka makanan itu. Kami segera menikmati hidangan yang sudah dimasak oleh ibu itu. Sambil makan, ayah dan ibu bertanyakan saya tentang pelajaran di sekolah. Saya memberitahu bahawa pelajaran saya tiada masalah begitu juga dengan hubungan kawan-kawan yang lain. Ayah dan ibu mengambil kesempatan masa bersantai di pantai ini untuk berinteraksi dengan saya. Mereka juga memberitahu bahawa mereka mahu saya menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran kerana peperiksaan semakin hampir. Saya mengangguk kepala tanda faham dan bersetuju. Setelah selesai makan ibu menyuruh saya berjalan di sepanjang pantai itu sementara ibu dan ayah duduk berbual antara mereka. Saya bersetuju dan mula mengatur langkah dengan penuh gembira. Sambil berjalan saya melihat pelbagai telatah pengunjung bersama-sama keluarga mereka. Ada yang sedang bermain bola, ada yang mendengar radio sambil baring dan ada yang kejar mengejar antara kawan. Pada masa yang sama saya juga mendengar suara-suara gelak ketawa antara mereka itu. Alangkah bagusnya jika setiap hari begini kata hati kecil saya. Kami berada di pantai itu hampir tiga jam sebelum menaiki kereta semula untuk menuju ke kota raya. Di dalam kereta ayah sempat bertanya kepada saya tentang perasaan saya. Lalu, saya memberitahu bahawa saya begitu gembira kerana muka saya dihembus oleh tiupan angin laut yang begitu saya suka selama ini. Mak dan ayah hanya ketawa sahaja apabila mendengar kata-kata saya itu. Saya pula tersenyum sambil mengucapkan terima kasih kepada ayah dan ibu di dalam hati saya kerana membawa saya ke pantai. LAILATUL SYAMIMI

KEWUJUDAN PASARAYA BESAR

Salah satu bukti yang menunjukkan bahawa masyarakat sesebuah negara itu sudah maju ialah pasaraya besar wujud dengan begitu ketara dan Malaysia sudah memiliki pelbagai pasaraya besar. Kewujudan pasaraya sebegini sudah menjadi satu lumrah kehidupan terutama di kawasan bandar besar yang mempunyai populasi yang begitu tinggi. Kebanyakan pasaraya besar ini dimiliki oleh syarikat multinasional yang berasal dari negara asing seperti Perancis dan Britain. Sudah pasti akan wujud pelbagai impak ekoran kemunculan pasaraya sebegini dalam budaya kita. Impak negatif yang pertama ialah pasaraya besar ini berupaya menjejaskan keseinambungan peruncit-peruncit kecil-kecilan di negara ini. Kalau dahulu peruncit ini boleh bersaing dengan pekedai lain tetapi kemunculan pasaraya besar sukar ditandingi mereka. Biasanya pasaraya besar membeli barangan dalam bentuk pukal lalu berupaya menjualnya dengan harga yang jauh begitu murah. Pada masa yang sama kos operasi pasaraya ini juga begitu rendah dibandingan dengan peruncit tempatan yang tiada pilihan selain gulung tikar. Maka, semakin banyak pasaraya besar ini semakin tipislah peluang untuk peruncit tempatan untuk mengaut keuntungan. Pada masa yang sama pasaraya besar membawa kemunculan budaya baru pula yakn budaya membeli barangan dalam kuantiti yang banyak. Biasanya pembeli terpaksa membeli dalam jumlah yang banyak untuk mendapatkan lebih banyak potongan harga jika membeli sesuatu produk itu secara berasingan. Keadaan ini menyebabkan timbulnya konsep pembaziran yang keterlaluan terutama dalam aspek penggunaan sesuatu produk dan juga kegunaan wang pengguna. Oleh itu, pasaraya besar menyebabkan budaya membazir muncul dalam masyarakat kita sedikit demi sedikit lalu menjadi satu kelaziman pula suatu masa nanti. Akibat pembinaan pasaraya besar ini tertumpu di kawasan yang padat penduduknya masalah kesesakan lalu lintas pula menjadi semakin kronik terutama ketika hujung minggu atau awal bulan. Kesukaran untuk mendapatkan tempat letak kereta menyebabkan banyak penggunan yang berkunjung ke pasaraya ini sengaja meletakkan kereta mereka di bahu-bahu jalan lalu menghalang kelancaran lalu lintas kenderaan lain pula. Situasi sesak ini pastinya menimbulkan masalah bukan sahaja kepada pengguna tetapi juga kepada penduduk sekitar yang terpaksa menghadapi keadaan yang serupa berulang kali sepanjang hidup mereka. Sesungguhnya, pasaraya besar menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas bukanlah satu isu baru lagi malah sudah menjadi sesuatu yang biasa pula. Natijahnya, pasaraya besar memberikan satu impak yang besar dalam kehidupan masyarakat kita sekarang. Kalau kita kaji secara mendalam semua aktiviti harian masyarakat banyak tertumpu di kawasan pasaraya besar ini. Kalau dahulu berbelanja dianggap sebagai satu kehendak kini aktiviti berbelanja sudah menjadi keperuan atau amalan biasa dalam kehidupan masyarakat kita. Mungkin masyarakat kita tidak akan mengena lagi jiran tetangga mereka kerana sibuk menghabiskan masa di pasaraya sahaja. Bayangkan LAILATUL SYAMIMI