Click here for Myspace Layouts

Tuesday 12 June 2012

IBUBAPA Mithali, ANAK-ANAK Harmoni

IBUBAPA Mithali, ANAK-ANAK Harmoni Pada hari ini, kita mampu melihat gelagat anak-anak muda dari pelbagai aspek. Ada yang baik dan ada yang kurang enak diperhati. Namun yang menjadi tanda tanya, siapakah sebenarnya pemangkin peribadi yang mulia kepada anak-anak ini? Jika kita bertanyakan kepada ramai pihak, sudah tentu mereka akan menjawab ibubapa. Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan ini dan yang pasti ketentuan Allah telah meletakkan ibubapa sebagai pembimbing utama kepada anak-anak. Rasulullah SAW telah menyatakan dengan jelas dalam hadis Baginda bahawa ibubapa merupakan pencorak gaya hidup anak-anak. Sebagai ibubapa yang baik, perlulah mengambil pendekatan yang efektif terhadap anak-anak supaya mereka berada di landasan yang betul dan tidak terpesong dari Jalan Allah SWT. Banyak ragam manusia yang tidak berakhlak dan tidak bermoral menular dalam kehidupan kini. Rata-rata daripada mereka merupakan anak-anak muda yang masih belum “matang” dalam menilai erti sebenar kehidupan. Jika diteliti, kebanyakan mereka yang bermasalah itu berpunca dari keretakan institusi kekeluargaan. Ibubapa tidak peka dengan anak-anak. Mereka juga mengabaikan anak-anak. Jikalau ada yang mendidik anak-anak, mereka hanya mendidik dari segi kehidupan dunia semata-mata. Pendidikan sebagai seorang Muslim tidak diberi penekanan yang begitu mendalam. Itulah punca mengapa jiwa anak-anak meronta dalam senyap melakukan kemungkaran terhadap Allah SWT. Ibubapa harus sedar, jika anak-anak tidak mendapat pendidikan rohani dan jasmani yang terbaik, mereka ini akan mudah untuk tergelincir ke lembah kejahatan dan akan perbuatan mereka akan menjadi racun kepada kegemilangan sesebuah masyarakat. Jangan sibuk menyalahkan orang lain jika anak-anak bermasalah. Telitilah sifat dan sikap sebagai ibubapa, adakah peranan ibubapa yang patut ada sudah kita penuhi? Kebanyakan ibubapa yang suka menuding jari ini akan menyebabkan kehidupan anak-anak mereka akan menjadi kucar-kacir dan masa depan mereka akan terjejas. Ibubapa yang kurang mahir dalam bidang agama, mereka juga perlu belajar bersama anak-anak mereka. Tidak perlu malu atau runsing. Allah Maha Adil dan Maha Penyayang. Alangkah indahnya jika institusi keluarga itu terdiri daripada ibubapa dan anak-anak yang berakhlaq mulia. Jangan jadikan tempat-tempat pengajian Islam sebagai tempat untuk melepaskan tanggungjawab daripada mendidik anak-anak mengenal Allah, Rasul, dan Islam. Oleh itu, jadilah ibubapa yang baik untuk anak-anak agar mereka mampu menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Ibubapa yang mampu melahirkan dan mendidik anak-anak yang berperibadi mulia akan merasai nikmat kemanisan hidup di dunia dan akhirat kerana mereka tidak akan putus-putus dilimpahkan Rahmat oleh Allah mahupun ketika mereka berada di dalam kubur nanti. Wallahu’alam. Posted by PRO - UMMAH FARAH ILYANA 1B2

No comments:

Post a Comment