Click here for Myspace Layouts

Thursday 3 May 2012

PERANAN IBU BAPA

Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga. Sebagai anak, seseorang itu memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada ibu bapa, maka anak-anak mampu mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak hingga mencapai kejayaan merupakan tugas yang amat berat dan tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sentiasa memainkan pelbagai peranan untuk memastikan anak-anak cemerlang dalam pelajaran. Salah satu peranan yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran ialah membesarkan anak-anak dalam suasana yang harmoni dan ceria. Keharmonian dan keceriaan menjamin anak-anak membesar dengan selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana kehidupan yang bahagia akan membebaskan anak-anak daripada masalah keluarga seperti pertelingkahan antara ibu bapa dan apa-apa jua masalah yang dapat mengganggu keharmonian dan kesejahteraan keluarga. Melalui cara ini, anak-anak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya dalam pelajaran mereka kerana tidak dibebani tekanan yang berat. Dalam hal ini, anak-anak akan dapat berusaha dengan bersungguh-sungguh tanpa gangguan dalam pelajaran mereka kerana mereka hidup dalam keadaan gembira dan seronok pada setiap hari. Tegasnya, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak membesar dalam suasana yang harmoni dan ceria sepanjang masa bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Selain itu, ibu bapa juga mestilah bertanggungjawab mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak mereka dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan masa depan anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuan. Dalam kebanyakan keadaan, anak-anak lebih mempercayai dan meyakini kawan daripada ibu bapa sehingga merreka sukar untuk membezakan perkara yang baik dengan perkara yang buruk. Apabila anak-anak bergaul dengan rakan bermasalah, seperti ponteng sekolah, menghisap rokok, dan sebagainya, mereka akan mengikut jejak rakan sebaya mereka itu dan lama-kelamaan mereka tidak berminat untuk belajar. Untuk menangani hal ini, ibu bapa mestilah mengenali latar belakang setiap rakan sebaya anak mereka dan mengenal pasti perubahan yang berlaku kepada anak-anak mereka pada setiap masa. Melalui cara ini, ibu bapa akan dapat menangani sesuatu perkara yang melanda anak mereka lebih awal, bak kata pepatah “ beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.” Seterusnya, ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan agama dan moral yang cukup. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan kepada anak-anak sejak kecil lagi. Hal ini bertepatan dengan tuntutan pepatah yang menyatakan “melentur buluh biarlah daripada rebungya.” Seruan ini memang betul kerana lazimnya anak-anak sukar dibentuk dan diperbetul setelah mereka melewati usia kanak-kanak. Apatah lagi, seperti kata bijak pandai, anak-anak itu diibaratkan kain putih, jadi ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya. Jika anak-anak tidak dibentengi dengan pendidikan agama dan moral sejak kecil, mereka dengan mudah akan dibanjiri pelbagai bentuk kejahatan yang akan merosakkan diri mereka. Pendidikan agama dan moral yang baik membolehkan anak-anak menapis dan menepis segala bentuk kemungkaran dan hal ini membantu mereka memperoleh kejayaan dalam pelajaran dengan cemerlang. Di samping itu, ibu bapa juga hendaklah berbincang dan bertukar-tukar pendapat dengan anak-anak tentang sesuatu perkara atau masalah yang timbul. Ibu bapa juga mestilah sentiasa mengambil berat terhadap masalah yang dihadapi anak-anak dan tidak menjadikan kesibukan bekerja sebagai alasan untuk menjauhi anak-anak. Yang lebih penting, ibu bapa mestilah bersedia untuk menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak. Kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama supaya segala masalah yang ditanggung mereka tidak terperap dan membengkak di dalam hati mereka. Biasanya, ana-anak yang memendam perasaan tidak dapat menumpukan perhatian mereka dalam pelajaran, dan dengan demikian menjadi salah seorang yang tercicir dalam pelajaran. Natijahnya, komunikasi dua hala dan perbincangan antara ibu bapa dengan anak-anak dapat melorongkan mereka ke gerbang kejayaan. Sebagai kesimpulannya, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam membantu kejayaan anak-anak. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya anak-anak terjebak dalam masalah social, keadaan akan menjadi semakin serius dan sukar untuk diselamatkan. Jika ibu bapa kurang memberikan perhatian terhadap masa depan anak-anak, mereka sangat sukar untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan masa depan anak-anak, khususnya untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.LAILATUL SYAMIMI

No comments:

Post a Comment